Selasa, 26 Disember 2017 | 1:46pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dr Mohd Shahreen Madros. - Foto Supian Ahmad

Pemain OGSE tempatan harus ke luar negara

KUALA LUMPUR: Syarikat sokongan industri minyak dan gas (OGSE) Malaysia kini pada tahap matang dan mampu bersaing di luar Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Dr Mohd Shahreen Madros, berkata ada lebih 4,000 vendor OGSE tempatan di negara ini dengan memiliki pematuhan piawaian dunia, dan dengan senario industri minyak dan gas tempatan yang agak perlahan ketika ini, adalah masa paling sesuai bagi mereka ke luar negara.

Katanya, industri minyak dan gas kini berjaya melahirkan ramai pakar dalam bidang kejuruteraan minyak serta gas dan syarikat sokongan milik tempatan yang berkemahiran.

"Mereka sebenarnya sudah bersedia ke luar Malaysia," katanya pada sesi temu bual di sini baru-baru ini, sambil menambah senario semasa mencadangkan pemain tempatan tidak lagi boleh bergantung kepada kontrak kerja tempatan.

Hadir sama pada sesi itu ialah Pengarah Eksekutif Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC), Yazid Ja'afar dan Presiden Majlis Perkhidmatan Minyak & Gas Malaysia (MOGSC), Sharifah Zaida Nurlisha.

Mohd Shahreen berkata, MATRADE bersama-sama agensi kerajaan lain sedia memberi sokongan kepada pemain OGSE tempatan, khususnya yang bersaiz kecil dan sederhana, bagi melancarkan operasi mereka di pasaran baharu.

Sementara itu, Yazid berkata, antara negara yang berpotensi diterokai pemain OGSE tempatan ialah Kazakhstan berikutan industri minyak dan gas di negara itu kini dalam proses kematangan.

Beliau berkata, selain hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Kazakhstan, negara itu boleh dijadikan pemain OGSE tempatan sebagai hab bagi mendapatkan kontrak kerja di kawasan Eropah dan Asia Barat.

"Industri minyak dan gas di Kazakhstan dalam proses kematangan. Pemain industri Malaysia pula sudah melalui peringkat itu dan memiliki kepakaran dan pengalaman mencukupi untuk menyumbang dan membantu peserta industri di negara itu, dengan menawarkan perkhidmatan pada harga kompetitif," katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa syarikat OGSE Malaysia beroperasi di Kazakhstan dalam pelbagai disiplin hari ini, antaranya, Hadid Engineering (M) Sdn Bhd; Innovative Fluid Process Sdn Bhd; Sumatec Resources Bhd; dan Ken Makmur.

Yazid berkata, tiga lagi pemain OGSE tempatan, termasuk Serba Dinamik Holdings Bhd, akan memasuki pasaran Kazakhstan dalam tempoh terdekat.

Katanya, pemain OGSE boleh memasuki Kazakhstan secara persendirian atau menubuhkan konsortium berpayungkan sokongan syarikat tempatan yang sudah bertapak di negara itu.

Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dalam laporan Tinjauan Aktiviti PETRONAS (PAO) yang dikeluarkan baru-baru ini membayangkan persekitaran industri minyak dan gas tempatan yang suram.

Laporan itu mendedahkan keperluan bagi pelantar 'jack-up rig' yang digunakan dalam aktiviti cari gali, berkurangan sebanyak separuh kepada kira-kira 10 bagi tempoh 2018-2020, berbanding 2013-2014.

Ia selari dengan pengeluaran PETRONAS yang lebih rendah.

INFO:

Fakta minyak dan gas Kazakhstan

- Kazakhstan miliki jumlah lapangan minyak terbesar di luar Teluk Parsi.

- Rizab minyak terbesar terletak di utara Laut Caspian iaitu Tengiz; Karachaganak; dan Kashagan.

- Ahli geologi mengenai pasti banyak telaga minyak belum diterokai.

134 dibaca
Berita Harian X