Ahad, 25 March 2018 | 10:01pm

Sasar jadi pelengkap ekosistem automotif Malaysia

SETIAP usahawan memiliki cita-cita besar untuk maju dalam perniagaan, apatah lagi jika bidang perniagaan diceburi itu menjadi tumpuan seperti perniagaan yang berkaitan dengan automotif.

Dengan pasaran luas membabitkan lebih 600,000 unit kenderaan setahun, pastinya industri sampingan yang berkaitan automotif menjanjikan potensi besar.

Menyedari manfaat yang mampu diperoleh dari bidang terbabit, Azri Che Noh, menubuhkan AA Life Auto Sdn Bhd pada 2013, bagi meraih apa juga peluang yang ditawarkan dalam pasaran yang kini dianggap semakin matang.

Selepas AA Life Auto diasaskan, Azri menawarkan beberapa perkhidmatan sokongan termasuk pusat panggilan kemalangan, takaful, trak tunda dan bengkel panel bagi mereka yang menghadapi masalah kerosakan kenderaan.

Namun, beliau juga menyedari bahawa potensi dan peluang yang terhidang itu dibayangi pelbagai tanggapan buruk mengenai perkhidmatan trak tunda dan bengkel panel.


AZRI Che Noh pada sesi temuramah di Pejabat AA Life Auto Sdn Bhd, Wangsa Maju. - Foto Aswadi Alias

Boleh dikatakan sebahagian besar pengguna jalan raya memiliki persepsi kurang baik ke atas perkhidmatan sokongan automotif, terutama yang berkaitan dengan trak tunda dan bengkel baiki kenderaan.

Ia berikutan sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengusaha, hinggakan ramai yang berkongsi pengalaman buruk mengenai perkhidmatan terbabit dalam pelbagai platform termasuk media sosial selepas menjadi mangsa penipuan pengusaha trak tunda dan bengkel yang mengenakan caj tidak masuk akal.

Menyedari perkara itu, Azri tidak mahu krisis yang akan menjejaskan nama baik pengusaha 'budiman' berterusan sehingga memberi kesan buruk ke industri.

Cabaran tangkis imej buruk trak tunda

Apatah lagi syarikat yang diasaskannya sejak lebih lima tahun itu amat bergantung kepada dua perkhidmatan berkaitan serta penawaran takaful kemalangan hasil kerjasama dengan syarikat terkemuka.

Dengan cabaran yang dianggap sebagai sukar untuk ditangkis, anak jati Pasir Puteh, Kelantan itu bangkit mengubah persepsi orang ramai, sekali gus mewujudkan apa yang yang dipanggil garis panduan kepada pelanggan.


PENGASAS AA Life Auto Sdn Bhd, Azri Che Noh (berdiri lima kanan lima kanan) bersama ahli Persatuan Trak Tunda Malaysia dan Agensi Pemasaran Automotif Malaysia (MAWMAA) di Pejabat AA Life Auto Sdn Bhd, Wangsa Maju. - Foto Aswadi Alias

"Cabaran dari segi persaingan adalah perkara normal dalam perniagaan seumpama ini. Namun, untuk memperbetulkan tanggapan buruk sebenarnya lagi sukar kerana sekali terkena, orang akan ingat sampai bila-bila.

"Tidak dinafikan, ramai yang pernah tertipu dengan penunda yang mengenakan caj sangat tinggi dan ada juga bengkel yang gemar mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain.

"Tidak hanya tertumpu kepada mengubah persepsi masyarakat, kami juga mahu transformasikan perkhidmatan trak tunda supaya lebih standard dan sistematik, harga yang diselaraskan serta perkhidmatan lebih mesra.

"Dua cabaran utama ini diharapkan dapat ditempuhi oleh AA Life Auto," katanya.

Azri yang memiliki Diploma Pemasaran dari sebuah kolej swasta, berkata hasratnya adalah untuk memudahkan perkhidmatan kepada pengguna supaya sentiasa selesa meskipun berdepan masalah di jalan raya.

Kerjasama agensi berdaftar

"Kami bekerjasama dengan Persatuan Agensi Pemasaran Automotif Malaysia (MAWMAA) dan Pertubuhan Trak Tunda, Pengangkut Kereta 1 Malaysia (1MTTCC) untuk memperbetulkan semula imej serta reputasi syarikat seperti kami ini," katanya.

Mengimbau kembali pembabitannya dalam industri sokongan automotif, Azri berkata disebabkan kurangnya tumpuan dalam bidang ini menyaksikan beliau memutuskan untuk berkecimpung dalam bidang yang dianggap baharu bagi usahawan Bumiputera sepertinya pada 2013.

Katanya, dalam tempoh dua tahun pertama, AA Life Auto yang mewujudkan pakej ARA Assist kurang mendapat sambutan kerana bukan saja kurang dikenali, malah ia bagaikan tempoh percubaan baginya.


PENGARAH Pemasaran AA Life Auto Sdn Bhd, Mohd Hazri Hassan (tengah), Presiden Persatuan Agensi Pemasaran Automotif Malaysia (MAWMAA), Khamarulzaman (kiri) dan Presiden Pertubuhan Trak Tunda dan Pengangkut Kereta 1Malaysia (1MTTCC), Md Yusof Yahya pada sesi temuramah di Pejabat AA Life Auto Sdn Bhd, Wangsa Maju. - Foto Aswadi Alias

"Selepas itu, kami mula mengorak langkah ke depan dan ketika ini lebih 30 ahli berdaftar dengan ARA Assist dan kami menyasarkan pertambahan keahlian baharu sebanyak 10,000 setiap tahun," katanya.

Malah, katanya menerusi kempen keselamatan baharu yang dikenali 365Assist, Azri tidak hanya mengharapkan keahlian daripada individu, malah AA Life Auto kini meninjau potensi syarikat korporat untuk menjadi sebahagian pangkalan pelanggannya.

"Kami mahu menjadikan jenama AA Life Auto, ARA Assist dan 365Assist sinonim dengan perkhidmatan yang profesional, berpengalaman dan boleh dipercayai," katanya.

Berita Harian X