Selasa, 27 March 2018 | 12:47pm
SITI Nor Alfatihah Mohamed, 30, menunjukkan produk sejuk beku resepi ibunya yang dibawa masuk ke beberapa resort di Pulau Redang - Foto Nurul Fatihah Sulaini

Karipap resipi ibu masuk resort

PERMAISURI: Kesungguhan mengusahakan makanan sejuk beku menggunakan resepi ibu berbaloi bagi seorang suri rumah apabila produknya semakin diterima meluas termasuk tempahan daripada beberapa resort di Pulau Redang mulai awal bulan ini.

Pengasas Fatin Frozen Food (FFF), Siti Nor Alfatihah Mohamed, 30, berkata keputusan untuk menyambung tradisi ibunya, Azizah Sulong, 56, dibuat selepas berhenti kerja sebagai kerani di syarikat kejuruteraan di Kuala Lumpur sekitar empat tahun lalu.

"Minat membuat kuih terutamanya karipap memang wujud sejak kecil kerana mak selalu membuatnya untuk dijual bagi menolong ayah (Mohamed Sulong, 68) membesarkan kami tujuh beradik.

"Memang jadi kebiasaan kami membantu mereka dengan membawa kuih untuk dijual di sekolah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Merang, di sini, baru-baru ini.

Siti Nor Alfatihah berkata, disebabkan keadaan ibunya yang semakin uzur dan tidak boleh bergerak aktif seperti dulu membataskan gerak kerjanya untuk terus membuat kuih.

"Walaupun banyak karipap yang ada di pasaran, karipap hasil air tangan ibu tetapi mempunyai peminat tersendiri.

"Istimewanya, karipap ini jika digoreng pagi akan tetap rangup walau dimakan petang hari kerana kulitnya yang tebal dan isinya yang dicampur ubi kentang dengan ayam atau daging serta diletak sedikit daun kari," katanya.

Ibu kepada dua anak yang lebih mesra disapa Fatin itu berkata, lebih bermakna lagi apabila mesin pengadun tepung milik ibu berusia lebih 15 tahun masih berfungsi dengan baik.

"Setiap hari saya adun tujuh kilogram (kg) tepung untuk membuat karipap dan tiga kg donut mini dengan purata kuih 1,000 biji sehari termasuk popia berinti sayur.

"Pada peringkat awal dulu saya hanya membuat kuih untuk diletakkan di beberapa kedai untuk hidangan sarapan tetapi kini menumpukan kepada produk sejuk beku kerana permintaan tinggi," katanya.

Katanya, gelaran sebagai suri rumah sepenuh masa tidak menghalangnya menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan dengan mempromosikannya melalui media sosial dan penduduk setempat.

"Rezeki makin bertambah apabila tahun ini berjaya mendapat tender membekalkan kuih ke dua resort di Pulau Redang secara tetap.

"Buat masa sekarang saya hanya membuat kuih ini seorang diri dan kadang-kala dibantu adik ipar tetapi apabila musim perayaan perlu mencari pekerja sambilan kerana permintaan bertambah.

"Modal permulaan menggunakan duit simpanan RM1,000 dan perancangan masa depan saya ingin memohon bantuan daripada agensi kerajaan untuk mengembangkan lagi perniagaan ini," katanya.

1344 dibaca
Berita Harian X