Isnin, 2 April 2018 | 12:06am
MAZNI menceburi bidang perniagaan dengan membuka kafe internet secara kecil-kecilan di Taman Melawati pada penghujung 2000. - Foto Nurul Shafina Jemenon
KETUA Pegawai Eksekutif Pusat Percetakan Achik Sdn Bhd, Mazni Fadzil. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kafe internet cetus kejayaan usahawan

KUALA LUMPUR: Pelbagai dugaan dihadapi pemilik Achik Sdn Bhd, Mazni Fadzil dalam membawa perniagaan percetakan dan fotostat diusahakannya bertapak kukuh dalam pasaran dan mendapat tempat di hati pelanggan.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu menceburi bidang perniagaan dengan membuka kafe internet secara kecil-kecilan di Taman Melawati pada penghujung 2000.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Achik, membuka kafe internet dengan modal RM25,000 dari dana sendiri, keluarga dan rakan.

Sepanjang tempoh membuka kafe internet itu, dari semasa ke semasa, beliau menaik taraf perniagaan dengan menawarkan perkhidmatan fotostat dan percetakan secara kecil-kecilan bagi memenuhi keperluan pelanggan.

Setelah lapan tahun berniaga dan melihat potensi besar perkhidmatan ditawarkannya pada masa depan, Mazni terdorong untuk mengembangkan perniagaan secara serius dengan menubuhkan Achik Sdn Bhd pada 2008.

Bermula dengan hanya seorang kakitangan, Achik kini mempunyai 100 kakitangan, majoriti mereka sudah berkhidmat lebih 10 tahun dengan syarikatnya.

Sepanjang 18 tahun memajukan perniagaan percetakan itu, Mazni mengakui beliau tidak dapat lari daripada berdepan cabaran.


MAZNI membuka kafe internet dengan modal RM25,000 dari dana sendiri, keluarga dan rakan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Beliau berkata, dana adalah antara cabaran untuk mengembangkan perniagaan, namun jika mempunyai dana tetapi tidak mempunyai perancangan yang betul juga mengundang masalah.

Katanya, peningkatan kos juga menjadi cabaran dalam memajukan perniagaan, manakala dari segi persaingan pula, strategi yang tepat dapat mengatasi masalah berkenaan.

"Saya menjual kereta dan pinjam wang orang untuk membangunkan perniagaan. Saya juga mendapat pinjaman MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Mengimbau pembabitannya dalam bidang perniagaan, Mazni berkata, sebelum menceburi perniagaan secara serius, beliau bekerja sebagai pereka bentuk landskap.

Berikutan permintaan terhadap perniagaannya semakin meningkat, beliau mengambil keputusan berhenti kerja dan menumpukan sepenuh masa membangunkan syarikat bersama isterinya, Raja Zainoranuara Raja Ali.

"Saya mula menceburi perniagaan secara sambilan dengan membuka kafe internet. Bersandarkan kepada permintaan pelanggan, saya mengembangkan perkhidmatan dengan menawarkan khidmat fotostat dan kemudian percetakan.

"Permintaan yang semakin meningkat terhadap perkhidmatan percetakan yang ditawarkan, mendorong saya berhenti kerja dan menumpukan 100 peratus dalam perniagaan," katanya.


ACHIK adalah pusat sehenti bagi semua jenis percetakan, fotostat, percetakan digital, reka bentuk grafik, sepanduk, laminasi, pengimbasan, alat tulis dan kafe internet. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Achik adalah pusat sehenti bagi semua jenis percetakan, fotostat, percetakan digital, reka bentuk grafik, sepanduk, laminasi, pengimbasan, alat tulis dan kafe internet.

Bagi memudahkan urusan pelanggannya, pusat percetakan sehenti itu memperkenalkan sistem angka giliran bagi mengelak wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pelanggan.

Dari segi pemasaran, Mazni berkata, segmen korporat adalah tumpuan utama syarikatnya mewakili 40 hingga 50 peratus, diikuti segmen pelajar mewakili 20 peratus serta baki 20 peratus dari kalangan pelanggan arkitek dan penduduk sekitar.

Beliau berkata, syarikatnya mendapatkan bekalan bahan mentah seperti dakwat dan kertas secara terus dari China kerana harganya lebih murah dan membolehkan beliau menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan.

"Saya memang tidak menyangka untuk menceburi bidang perniagaan sehingga memiliki wisma perniagaan sendiri.

"Cita-cita saya masa kecil adalah menjadi pegawai bank. Saya tidak sangka perniagaan saya berkembang sehingga ke peringkat sekarang," katanya.

Selain Taman Melawati, Achik mempunyai cawangan di Klang Gate, Wangsa Maju, Wangsa Melawati, Kolej Islam Antarabangsa dan Institusi Jerman Malaysia di Bangi, Selangor.


ACHIK memperkenalkan sistem angka giliran bagi mengelak wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan pelanggan. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Kini, syarikat miliknya melebarkan sayap dengan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan seperti percetakan digital serta papan iklan menggunakan mesin berteknologi tinggi.

Syarikat itu juga menawarkan perkhidmatan secara dalam talian dan bercadang mempertingkatkan lagi pemasaran menerusi saluran berkenaan.

Melangkah ke hadapan, Mazni bercadang menawarkan perkhidmatan percetakan layan diri 24 jam bagi memenuhi permintaan pelanggan.

INFO

Nama: Mazni Fadzil

Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif Achik Sdn Bhd

Umur: 40 tahun

Asal: Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Berita Harian X