Ahad, 8 April 2018 | 9:38pm
CHEF dan usahawan, Mohd Najib Abdul Hamid. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
RESTORAN Jibby & Co di Empire Subang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
NAJIB (dua dari kiri) melayan pengunjung di Jibby&Co. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Bawa pengalaman kulinari Australia ke tanah air

KUALA LUMPUR: Kejayaan tidak datang sekelip mata, sebaliknya pengorbanan masa, kesabaran, ketekunan dan lebih penting lagi komitmen.

NadiBiz minggu ini mengetengahkan liku-liku dilalui chef dan usahawan, Mohd Najib Abdul Hamid, 38, pengusaha dan pemilik bersama rangkaian restoran di bawah payung Serai Group Sdn Bhd.

Pernah dipandang 'semacam' termasuk diberi gelaran tidak menyenangkan oleh rakan sekerja ketika bekerja di sebuah restoran di Australia. Ia berikutan tindakannya yang memakai sarung tangan getah ketika menyediakan makanan berasaskan daging khinzir.

Itu cuma sebahagian kecil daripada cabaran dihadapi Najib sepanjang 10 tahun menimba ilmu dan pengalaman dalam bidang kulinari di Australia.

Mengimbau detik permulaan sehingga ke tangga kejayaan hari ini, beliau mengakui pada awalnya masih tercari-cari bidang kerjaya yang bersesuaian untuk dirinya.

Beliau mengambil jurusan pengurusan hospitaliti di Australia, bagaimanapun kehendak dan kelulusan dimiliki ketika itu bercanggah dengan apa yang diimpikan.

Minat terhadap seni kulinari membuatkan beliau mengambil kursus pendek bagi mempelajari bidang itu secara lebih serius.

Bermula sebagai penolong chef di restoran Itali di Australia, Najib memanjat hierarki dengan pantas daripada Commis Chef kepada Demi Chef, disusuli Chef de Partie sehinggalah menjadi Executive Chef, yang mana beliau diberi kepercayaan menerajui dan menguruskan dapur di sebuah hotel ternama di Melbourne, Australia.

Apa pun, penerimaan warga tempatan adalah cabaran terbesar. Sebagai chef Asia termuda yang bekerja di hotel itu, pelbagai halangan ditempuhi berbanding chef tempatan, yang mana kakitangan bawahan sering memandang rendah kemampuan beliau.

Ia bagaimanapun tidak sekali pun mematahkan semangat Najib, malah membuatkannya lebih komited lagi.

Selepas melihat komitmen dan kebolehan beliau, secara perlahan-lahan bukan saja Najib diterima malah lebih dihormati lagi.


NAJIB (kiri) berbincang bersama kakitangannya di Jibby&Co, Empire Subang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Paling awal sampai, paling lewat pulang

Setiap hari Najib adalah yang paling awal sampai ke tempat kerja untuk memastikan segala persiapan memasak tersedia dan beliau juga, antara terakhir meninggalkan restoran pada sebelah malam.

Sekembalinya ke tanah air pada Disember 2009 kerana bapanya sakit, Najib bertemu Qistina Shahryir Taff, yang kemudian menjadi suri hidupnya.

Kebetulan pihak keluarga isteri juga pengusaha restoran dan secara bersama rangkaian restoran sedia ada dimantapkan.

Kerjasama dengan keluarga isteri itu berjaya menaikkan lagi jenama Restoran Serai sebagai restoran makanan Melayu autentik terkemuka.

Setelah berpuas hati melihat prestasi Restoran Serai, beliau mengorak langkah lebih berani dengan membuka restoran berkonsepkan moden kontemporari dikenali sebagai Jibby & Co.

Pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh di Australia sebelum ini banyak membantu beliau menguruskan operasi restoran itu.

Menu hidangan Jibby & Co merangkumi cita rasa daripada pelbagai benua mendapat sambutan. Anda boleh mencuba Shredded Duck Confit, 300 gram Chilled Australian Rib Eye Steak, Moroccan Lamb Shank dan hommus adalah antara 60 jenis makanan yang disediakan.


NAJIB (tiga dari kanan) bersama kakitangannya di Jibby&Co, di Empire Subang. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Rangkaian jenama Serai Group

Hiasan dalaman restoran pula memiliki keunikan berkonsepkan rumah kaca dengan hiasan tumbuhan hidup memberikan suasana menyamankan dan menambat hati pelanggan yang berkunjung.

Hari ini Serai Group mengendalikan jenama restoran seperti Jibby & Co; Jibby Chow; Jibby East; MakaMakan by Jibby; Serai Satay Bar; Serai Thai; Serai; dan Serai Catering dengan seramai 400 kakitangan.

Jibby East yang beroperasi di KL East milik Sime Darby di Taman Melati, menawarkan konsep lebih elegan dan menu hidangan berbeza daripada Jibby & Co, manakala Jibby Chow mengetengahkan konsep restoran Cina Muslim moden dengan identiti tersendiri beroperasi di First Subang Courtyard SS15, Subang.

Antara hidangan terlaris ialah rusuk kambing dan ketam berkuah cili dimakan dengan mantao (roti cina).

Dua lagi cawangan akan dibuka di Lembah Klang dan satu akan dibuka di Jepun bagi memenuhi permintaan restoran halal di negara itu.

Di luar rangkaian Serai Group, beliau turut membuka restoran Naj & Belle di Bangsar dan First Subang Courtyard SS15, DishRoom di CVSKL KL Sentral dan KreAte Takeout di Prince Court Medical Centre.

"Kalau anda serius dan komited dalam kerja yang dilakukan, kejayaan akan datang akhirnya," kata beliau yang lebih mesra dengan panggilan Jibby.

INFO
Mohd Najib Abdul Hamid

Umur: 38 tahun

Pendidikan:

  • SRK Lok Yuk di Likas, Sabah
  • SM All Saints, Likas, Sabah
  • Cordon Bleu & Regency Hospitality School di Adelade, Australia
Berita Harian X