Rabu, 11 April 2018 | 2:46pm
KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus (tengah) bersama Pengarah Urusan MN Fuel Solutions Sdn Bhd, Marizan Nor Basirun hadir pada majlis pelancaran Kleen Diesel W20 di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Rohanis Shukri

Kleen Diesel lonjak jualan MN Fuel

PETALING JAYA: MN Fuel Solutions Sdn Bhd menyasarkan lima peratus penguasaan pasaran minyak diesel dalam tempoh dua tahun menerusi produknya, Kleen Diesel.

Pengarah Urusannya, Marizan Nor Basirun, berkata permintaan terhadap penggunaan minyak diesel di Malaysia adalah tinggi dengan industri pengangkutan mencatatkan penggunaan sehingga berbilion liter setahun.

Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) pula mencatatkan penggunaan diesel sehingga 3,000 liter sebulan bagi aktiviti semburan kabus atau 'fogging' di daerah masing-masing.

"Kami yakin Kleen Diesel akan menjadi pilihan industri kerana ia diesel mesra alam yang dihasilkan daripada Diesel Euro 2M, air osmosis songsang (RO) dan bahan permukaan menerusi proses homogenisasi.

"Bagi memenuhi permintaan industri, MN Fuel melancarkan diesel emulsi di pasaran tempatan merangkumi Kleen Diesel W10 untuk sektor pengangkutan dan Kleen Diesel W20 untuk aktivti 'fogging'," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran Kleen Diesel W20 di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Datuk Norhalim Yunus.

Mengulas lanjut, Marizan berkata, syarikat turut menyasar untuk mengukuhkan kedudukannya di pasaran tempatan sebelum bercadang untuk meneroka pasaran luar negara.

"Kleen Diesel W20 menerima sambutan daripada pihak PBT di Selangor untuk kegunaan aktiviti 'fogging'. Kami juga bercadang untuk meluaskan kegunaan produk ini bersama PBT di seluruh negara.

"Buat masa ini, kami hanya mempunyai stor simpanan dan fasiliti pengadunan di Petaling Jaya yang mana ia boleh menghasilkan sehingga 25,000 liter diesel sehari

"Sekiranya permintaan terus meningkat, kami mungkin akan menambah bilangan fasiliti pengadunan," katanya.

720 dibaca
Berita Harian X