;
Ahad, 22 April 2018 | 2:53pm
MUHAMAD Iqbal menangkap ikan di kolamnya. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
MUHAMAD Iqbal menangkap ikan di kolamnya di FELDA Serting Hilir Kompleks, Jempol. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan
MUHAMAD Iqbal menunjukkan kesan tapak tangannya akibat berjalan menggunakan anggota itu. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

Usahawan OKU berjaya

JEMPOL: Muhamad Iqbal Majid, 24, pernah hampir putus asa apabila tiada siapa yang mahu mengambilnya bekerja hanya kecacatan yang dialaminya.

Keadaan itu menyebabkan beliau pernah terfikir, kehidupannya hanya mampu diteruskan dengan bantuan orang lain.

Muhamad Iqbal dilahirkan cacat sejak lahir. Kedua-dua kakinya kecil menyebabkan beliau terpaksa menggunakan tapak tangan untuk berjalan.

"Saya memang malu dengan kekurangan ini, namun dorongan dan kata semangat daripada keluarga memberi saya kekuatan.

"Sejak saya tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya mencari pelbagai kerja, namun ramai tidak mahu menerima saya.

"Mungkin disebabkan kekurangan saya, mereka beranggapan keupayaan saya terbatas. Saya rasa kecewa dan ingin berputus asa.


MUHAMAD Iqbal ingin membungkus ikan yang ditempah pelanggan. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan


MUHAMAD Iqbal berjalan dengan menggunakan tangannya. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

"Sampai satu tahap, saya rasakan saya hanya mampu hidup atas pertolongan orang lain disebabkan tidak mampu untuk berdikari," katanya ketika ditemui di rumahnya di FELDA Serting Hilir 6, di sini.

Namun, anak bongsu daripada lima beradik itu tidak mahu perkara itu terus menjadi penghalang untuk hidup berjaya seperti orang lain.

Berminat dengan penternakan air tawar sejak di bangku sekolah, Muhamad Iqbal memberanikan diri untuk menceburi bidang itu pada 2014.

"Saya memohon tanah daripada FELDA dan mendapat satu lot tanah berhampiran rumah, serta bimbingan daripada Jabatan Perikanan untuk menternak ikan.

"Alhamdulillah, sejak itu rezeki saya semakin terbuka. Keluarga juga membantu memberi modal awal bernilai RM3,500 untuk saya menjalankan projek ini," katanya.

Beliau bermula dengan menternak keli Afrika dan talapia, yang memberinya pulangan lumayan.

Berikutan itu, FELDA memberi satu lagi lot tanah di FELDA Serting Hilir Kompleks pada 2016 dan Muhamad Iqbal menggunakannya dengan menternak talapia, kap, lampam, puyu dan keli kampung.


MUHAMAD Iqbal menunjukkan antara ikan yang diternaknya. - Foto Khairul Najib Asarulah Khan

"Kini, saya memperoleh pendapatan sehingga RM7,000 setiap tiga bulan hasil jualan ikan serta benih ikan di sekitar kawasan ini.

"Apa yang membanggakan, saya dapat membantu keluarga berbanding dahulu.

"Walaupun hanya saya seorang sahaja yang kurang upaya dalam keluarga, saya satu-satunya juga yang berjaya menjadi usahawan dan membanggakan mereka," katanya yang ingin memasarkan hasil ternakan itu dengan lebih meluas pada masa akan datang.

Katanya, orang kelainan upaya (OKU) tidak harus menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk berjaya.

"Kita harus menggunakan kudrat yang ada untuk mencari rezeki dan percayalah Allah sentiasa membantu," katanya.

"Lakukan sesuatu itu dengan bersungguh-sungguh, berterusan dan ikhlas," katanya.

1735 dibaca
Berita Harian X