Ahad, 22 April 2018 | 4:29pm

Daftar dengan MyIPO lindungi hak cipta

CYBERJAYA: Usahawan tempatan disaran mendaftar perniagaan mereka dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) bagi mengelakkan kecurian hak cipta produk keluaran masing-masing.

Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Shamsiah Kamaruddin, berkata memandangkan pendaftaran harta intelek tidak diwajibkan, usahawan dan peniaga melihat perkara itu sebagai tidak penting.

Beliau berkata, mendaftarkan perniagaan dengan MyIPO dapat mengurangkan risiko produk keluaran syarikat berkenaan diciplak.

"Bagi peniaga baru, mereka rasa ini tidak penting tapi jika produk mereka menjadi terkenal, sudah tentu ada yang berminat untuk tiru.

"Walaupun tidak semestinya produk 'tiruan' bagus, ia akan memberi kesan kepada pemilik asal hingga menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

"Jika tidak didaftarkan, mereka (pemilik asal) tidak mempunyai kuasa dan bukti kukuh untuk membawanya ke peringkat perundangan," katanya kepada NSTP ketika menghadiri Majlis FunRide dan Sambutan Ulang Tahun Ke-15 MyIPO, di Park and Ride Cyberjaya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendaftaran harta intelek seperti jenama atau logo membolehkan usahawan membuat pengiklanan berkesan yang secara tidak langsung menjadikan produk mereka dikenali ramai.

Terdapat beberapa komponen bagi pendaftaran harta intelek, antaranya paten, cap dagangan, reka bentuk perindustrian, hak cipta, petunjuk geografi dan reka bentuk susun atur litar bersepadu.

Mengenai program berkenaan, Shamsiah berkata, ia adalah program berbasikal pertama dianjurkan pihaknya, yang secara tidak langsung mempromosikan fungsi MyIPO kepada masyarakat.

Lebih 1,450 masyarakat menyertai program itu, yang terdiri daripada orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan warga kerja MyIPO.

222 dibaca
Berita Harian X