Isnin, 30 April 2018 | 12:00am
PENGUNJUNG tidak melepaskan peluang mencuba permainan video yang disediakan. - Foto Ihsan Facebook Kitamen

Mat Gamer ubah persepsi negatif kafe siber

KUALA LUMPUR: Ada yang menggelarnya 'Mat Gamer' kerana dia gemar bermain permainan video dari kecil.

Ramai juga yang beranggapan hobi bermain permainan video tidak mendatangkan faedah, apatah lagi jika kerap berulang alik dan menjadikan kafe siber sebagai rumah kedua.

Namun itu bukan penghalang kepada Fahmi Fairuz, 28, untuk meneruskan minatnya dalam permainan video dan menjadikan ia sebagai satu kerjaya sehingga mampu menubuhkan syarikat Kitamen Resources Sdn Bhd (Kitamen).

Bagi Fahmi, semuanya bermula daripada dorongan keluarga dan rakan yang menyarankan agar dia serius menjadikan permainan video sebagai platform kerjayanya.

Bertitik tolak daripada itu, Fahmi bersama rakannya, Hazman Hassan, mula mengorak langkah menubuhkan Kitamen yang kini dikenali sebagai pusat sehenti peminat e-sukan.

"Kami bermula dengan wang simpanan dan sedikit bantuan keluarga sebanyak RM2,000 saja untuk membuka syarikat ini. Pada mulanya kami hanya menumpukan kepada acara berkaitan e-sukan tapi ketika itu situasi agak suram.

"Bagaimanapun, kami kekurangan penaja, peserta dan acara juga tidak dapat sambutan dari penonton selain kemudahan e-sukan yang tidak mencukupi. Selepas itu, kami mula jual jenama Kitamen sendiri.

"Selepas itu, kami buat kumpulan sertai pertandingan e-sukan tidak kiralah dalam atau luar negara dan menjadikan Kitamen Resources sebagai jenama dalam e-sukan," katanya.


PEMAINAN video yang boleh didapati di gerai pameran e-sport. - Foto Ihsan Facebook Kitamen


FAHMI Fairuz. - Foto Mahzir Mat Isa

Ubah persepsi

Apabila jenama Kitamen mula dikenali komuniti peminat e-sukan, Fahmi mencari rakan niaga untuk bekerjasama dengannya membuka pusat sehenti permainan video.

Fahmi ingin mengubah persepsi mengenai kafe siber dengan menjadikan pusat sehentinya mesra pengguna sama ada untuk kanak-kanak atau dewasa.

Pusat sehenti pertama Kitamen adalah di Kuala Terengganu hasil kerjasama seorang rakan niaganya yang mengeluarkan modal.

"Di pusat ini, kita ada semua jenis permainan e-sukan.

"Selepas itu kami mula jadikan ia francais. Operasi akan diuruskan oleh Kitamen sendiri termasuk susun atur dan segala kemudahan yang terdapat dalam pusat itu.

"Bermula Julai 2016 hingga kini, Kitamen sudah mempunyai 17 rangkaian pusat sehenti e-sukan seluruh Malaysia. Malah semakin ramai pelabur yang ingin membuka pusat e-sukan ini tetapi kami agak selektif dalam menentukan rakan niaga," katanya.


ANTARA pengunjung yang hadir ke gerai pameran e-sport Kitamen di Gogeria. - Foto Ihsan Facebook Kitamen

Kerjasama MDEC, Media Prima

Kitamen juga bekerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mempromosi kempen 'Healthy Gaming' dengan objektif memberi penjelasan bahawa permainan digital adalah aktiviti menyeronokkan, tetapi perlu dilakukan secara berhemah dan berpatutan.

Beliau berkata, usaha sama itu diharap dapat menyemarakkan lagi pembangunan permainan digital di Malaysia di samping memperluas kesedaran mengenai industri berkenaan.

Kitamen juga, katanya, turut bekerjasama dengan Media Prima Bhd membangunkan e-sukan dan industri permainan tempatan menerusi platform media yang luas.

Beliau berkata, daya usaha berkenaan mampu menjadikan komuniti permainan tempatan lebih dikenali secara global.

"Kami juga baru-baru ini melancarkan inisiatif dana berasaskan ekuiti atau 'Equity Crowd Funding' (ECF) bagi menjana dana untuk membina sebuah pusat e-sukan khas yang lengkap untuk kegunaan komuniti.

"Kitamen juga akan menganjurkan sesi ceramah, projek dan aktiviti bersama komuniti e-sukan dengan kerjasama beberapa pihak pada masa akan datang.

"Ketika ini kami bangga dan tidak menyangka nilai syarikat adalah sebanyak RM20 juta," katanya.

Berita Harian X