Sabtu, 29 September 2018 | 2:27pm
- Foto ihsan Instagram Erma Fatima

Mak Cun, Che Ta bergabung 'meletop' dengan AVANA

KUALA LUMPUR: Penyedia solusi e-dagang Malaysia, AVANA mengumumkan kolaborasi terbaharu bersama selebriti terkenal Erma Fatima atau lebih popular dengan gelaran Mak Cun dan Rozita Che Wan atau Che Ta untuk membantu peniaga kecil membawa perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa dan seterusnya menjana pendapatan di dalam ekonomi digital.

“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan Mak Cun dan Che Ta sebagai sebahagian daripada revolusi e-dagang di negara kita.

“Mereka adalah contoh usahawan Malaysia yang berwawasan tinggi dan kami percaya selepas ini lebih ramai usahawan yang boleh mengikut jejak mereka berdua dan seterusnya mencapai impian untuk membina bisnes yang berjaya,” kata Luqman Adris selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas AVANA.

AVANA sebelum ini mengumumkan kerjasama terbaharu bersama MATRADE dan Facebook menerusi program “Made by Malaysia, Loved by the World” yang dilancarkan secara rasmi pada 24 September lalu di Menara MITI, Jalan Duta.

Program yang turut disertai dua selebriti popular ini dijangka dapat membantu dan memperkasa sekurang-kurangnya 2,000 usahawan di seluruh negara untuk mengeksport ke luar negara.

Selain itu, program ini juga akan membantu para usahawan membina nilai strategik bisnes mereka dalam skop tempatan dan seterusnya membawa momentum bisnes ke peringkat global.


- Foto ihsan Instagram Erma Fatima

Kurikulum program tersebut akan merangkumi aspek perancangan bisnes, strategi pemasaran, proses eksport serta syarat dan peraturan global yang perlu diketahui untuk pasaran antarabangsa.

Penggunaan aplikasi mudah alih AVANA, secara langsung juga bakal membantu usahawan untuk membina kedai atas talian dan menguruskan pesanan pelanggan dengan lebih cepat menggunakan telefon mudah alih. Aplikasi tersebut juga memudahkan usahawan memuat naik produk dan mengemaskini butiran inventori di hujung jari.

Dengan aplikasi yang sama, usahawan boleh terus berkongsi produk mereka di platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan saluran lain supaya pelanggan boleh terus membuat bayaran dengan satu langkah mudah.

Menerusi platform Avana ini juga, Erma (Mak Cun) dan Che Ta telah berjaya mengembangkan perniagaan masing-masing ke pasaran yang lebih luas sekaligus memudahkan setiap urus niaga yang dijalankan mereka.

“Dunia e-dagang ini membuka satu peluang bisnes yang tiada batasan. Bagi saya sendiri, siri televisyen yang bermula sebagai satu karakter fiksyen telah pun berkembang menjadi satu bisnes yang sebenar.

“Watak Mak Cun yang saya cipta mempunyai perniagaan sendiri dan sekarang dengan memanfaatkan AVANA sebagai platform jualan telah membantu saya mengembangkan jualan dan jumlah pelanggan yang sedia ada,” kata Erma.

Sementara Che Ta yang terkenal dengan watak Kiah Pekasam juga menyambut baik usaha Avana.

Che Ta yang mula menceburi dunia lakonan sekitar tahun 2005, kini dilihat sudah mula memperlahankan rentak berkenaan dan lebih terarah kepada perniagaan.

Kakak kepada Ayu Raudhah ini menceburi perniagaan busana Muslimah dengan menjual rangkaian jubah dan tudung di bawah jenama Padusi pada 2011. Dia seterusnya tampil dengan tudung dan selendang segera di bawah label Zeta en Rawdah pada awal 2015.

Pada Ogos 2015 pula ibu kepada tiga cahaya mata ini memperkenalkan pula wangian Precious, diikuti Gorgeous.

Seterusnya dia mengeluarkan produk losen mencerahkan kulit dan jus untuk wanita selain produk makanan tambahan untuk kanak-kanak dengan mengetengahkan Aaisyah Dhia Rana sendiri sebagai jenama.

“Saya ingin lebih ramai usahawan Malaysia menyertai kami untuk menggunakan kemudahan e-dagang.

“Ini adalah peluang terbaik untuk usahawan mempelajari cara membuka bisnes atas talian, dan AVANA sendiri memudahkan proses bisnes dan membantu meningkatkan jualan anda,” ungkap Che Ta.

399 dibaca
Berita Harian X