Ahad, 7 Oktober 2018 | 6:42pm
Siti Nastasha Nordin (kiri) dan Norlaila Yusof menunjukkan bantal berjenama LEYNA keluaran syarikat mereka. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Aktif berniaga dalam talian 'jodoh' bisnes dua ibu muda

Siti Nastasha Nordin, 33, dan Norlaila Yusof, 31, kedua-duanya terjebak bisnes dalam talian ketika masing-masing mengandungkan anak pertama. Kini dua ibu muda ini bersatu di bawah syarikat diasaskan mereka untuk membina empayar bisnes sendiri.

• Masing-masing bermula kecil-kecilan dengan menjual barangan bayi serta pembarut untuk ibu bersalin secara dalam talian

• Memilih bantal berjenama LEYNA sebagai produk pertama syarikat

• 63,000 unit terjual sehingga 31 Ogos lalu

• Cadang perkenal produk kelengkapan bilik tidur seperti alas tilam, selimut dan bantal kecil dalam tempoh terdekat

SHAH ALAM: Pengalaman peribadi mengendalikan perniagaan dalam talian, memberi kelebihan kepada dua sahabat untuk membina kekuatan dalam usaha membangunkan empayar perniagaan sendiri.

Melalui Flenaz Synergy Resources (Flenaz Synergy) yang diasaskan bersama, Siti Nastasha Nordin, 33 dan Norlaila Yusof, 31, mempertaruhkan bantal berjenama LEYNA sebagai produk pertama untuk syarikat itu bertapak di pasaran.

Pastinya saluran dalam talian menjadi medium utama Flenaz Zynergy. Disertai struktur perniagaan serta pemasaran yang terancang, produk disediakan mendapat sambutan hangat dengan 63,000 unit terjual sehingga 31 Ogos lalu.

Flenaz Synergy berstatus syarikat Bumiputera ditubuhkan pada 31 Ogos tahun lalu untuk memenuhi keperluan rakyat Malaysia mendapatkan barangan kelengkapan rumah pada harga mampu milik, tetapi berkualiti dengan menggunakan jenama LEYNA.

Mengulas pembabitan awal, Norlaila berkata beliau mula terdedah dengan perniagaan ketika mengandungkan anak pertama pada 2013, dengan menjual barangan bayi secara dalam talian.

Katanya, kesulitan berpantang tidak menjadi penghalang, sebaliknya masa berehat digunakan sepenuhnya untuk menjana pendapatan tambahan.

Kisah sama dikongsi Siti Nastasha, yang menceburi perniagaan juga ketika mengandung anak pertama dengan menjual kelengkapan pembarut untuk kegunaan ibu bersalin secara dalam talian, yang terbukti mendapat permintaan tinggi.

Mungkin faktor ‘jodoh’ kedua-dua ibu muda ini ditakdirkan bertemu selepas beberapa tahun aktif berniaga secara dalam talian, sehingga mencetus penubuhan Flenaz Synergy.

Cetusan idea penubuhan


BANTAL berjenama LEYNA keluaran syarikat Flenaz Synergy Resources. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Siti Nastasha berkata, idea asal diwujudkan Flenaz Synergy hanya untuk menubuhkan pasukan pemasaran untuk tujuan perniagaan dalam talian.

Dengan ilmu yang ada, mereka membangunkan sistem dan struktur perniagaan serta pemasaran yang terancang dan teratur sejak hari pertama syarikat ditubuhkan.

Ia bagi memudahkan penyusunan strategi dalam merancang perjalanan dan hala tuju syarikat, di samping memastikan kebajikan wakil jualan Flenaz Synergy dijaga dengan rapi dan tersusun.

Siti Nastasha berkata, pihaknya amat menitikberatkan pengurusan sistematik menerusi penyediaan sistem yang teratur, sistem rekod ejen, sistem pengurusan pesanan, sistem melaporkan aduan dan sistem ganjaran yang sentiasa memberi fokus kepada kebajikan ejen.

“Kami menggunakan pengalaman sepenuhnya bagi membangunkan sistem ejen yang mantap dengan merangkumi peraturan, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI), bimbingan dan ganjaran.

“Bagi kami jika ada kehendak dan keazaman yang kuat, disusuli ilmu yang betul dan kekuatan kumpulan yang saling memberi dan menerima, ternyata kejayaan lebih mudah dimiliki bersama,” katanya.

Pemilihan produk


BANTAL berjenama LEYNA keluaran syarikat Flenaz Synergy Resources. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Menyentuh pemilihan bantal sebagai produk pertama, katanya ia kerana penjualan dan pemasaran barangan kelengkapan bilik tidur belum dipelopori dan dijual secara meluas menggunakan platform dalam talian, sedangkan ia diperlukan setiap isi rumah.

Mengenai keistimewaan bantal LEYNA, Siti Nastasha berkata isi dalamannya menggunakan poliester dengan fabrik kapas bercorak mewah serta berzip, malah ia boleh dicuci terus menggunakan mesin basuh, mudah kering dan tidak bergumpal.

Mengenai rancangan masa depan, katanya matlamat Flenaz Synergy untuk menjadi pembekal terulung produk kelengkapan rumah di negara ini.

“Kita bercadang memperkenalkan produk kelengkapan bilik tidur seperti alas tilam, selimut dan bantal kecil dalam tempoh terdekat,” katanya.

Berita Harian X