Selasa, 18 Julai 2017 | 12:05am

Babun punca 40,000 terputus bekalan elektrik

LUSAKA, Zambia: Tindakan seekor babun 'mengusik' peralatan di sebuah stesen jana kuasa hidro-elektrik menyebabkan bandar Livingstone, lokasi destinasi pelancong, di sini, terputus bekalan elektrik selama beberapa jam.

Stesen elektrik yang membekalkan kira-kira 106 megawatt tenaga itu terletak berhampiran air terjun Victoria, selain taman negara, namun jarang 'dikunjungi' haiwan liar.

Jurucakap Zesco Ltd, Henry Kapata, berkata tindakan seekor babun 'mengusik' pengubah voltan tinggi menjejaskan kira-kira 40,000 pelanggan, apabila mereka terputus bekalan elektrik selama lima jam, kelmarin.

"Insiden itu menyebabkan babun terbabit terkena renjatan elektrik dan dibawa ke pejabat hidupan liar untuk rawatan.

"Babun itu bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius," kata Kapata. - Reuters

Berita Harian X