Rabu, 30 Ogos 2017 | 11:46pm
GAMBAR fail, menunjukkan pasukan polis Gabon membersihkan halangan laluan di Libreville, Afrika Tengah pada 1 September 2016. - Foto AFP

Lapan maut keganasan agama di Afrika

LIBREVILLE (AFRIKA TENGAH): Sekurang-kurangnya lapan, termasuk orang awam terbunuh, manakala 29 lagi cedera dalam satu pergaduhan membabitkan isu agama, hari ini.

Pejabat Perhubungan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (OCHA) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima beberapa laporan mengenai pergaduhan seumpama itu sejak seminggu lalu di sekitar pekan Bria, kira-kira 450 kilometer dari timur laut Bangui.

"Ada laporan diterima menyatakan terdapat sekurang-kurangnya lapan kematian, termasuk dalam kalangan orang awam, manakala 29 lagi cedera dalam pertempuran terbaru di lebuh raya Bria menuju ke Yalinga," kata kenyataan itu.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan dalang di sebalik semua keganasan itu, tetapi Bria ialah lokasi pertempuran di antara majoriti Islam dan militan Kristian yang meragut 13 nyawa, awal bulan ini.

Laporan oleh pakar PBB tahun lalu, menyatakan Bria terletak di tengah-tengah pusat pengeluaran berlian, sekali gus pusat perdagangan berlian secara haram.

Republik Afrika Tengah adalah bekas jajahan Perancis dengan populasi 4.5 juta dan terbabit dalam perang saudara di antara militan Islam dan Kristian pada 2013, selepas Presiden Francois Bozize yang juga penganut Kristian digulingkan oleh Seleka.

Keganasan terbaru itu berlaku seminggu selepas Ketua Bantuan PBB, Stephen O'Brien pada mesyuarat tertutup Majlis Keselamatan, memberitahu terdapat tanda-tanda awal pembersihan etnik di negara berkenaan. - AFP

692 dibaca
Berita Harian X