Sabtu, 2 September 2017 | 6:47pm
ANGGOTA penyiasat menyiasat kebakaran asrama Sekolah Perempuan Moi di Nairobi. - Foto Reuters

Kebakaran ragut 7 nyawa pelajar di Kenya

NAIROBI: Tujuh pelajar perempuan maut dan 10 lagi dimasukkan ke hospital selepas asrama mereka terbakar di ibu kota negara itu awal pagi ini.

Punca kebakaran tidak diketahui, dan Sekolah Perempuan Moi ditutup selama dua minggu bagi siasatan, kata Menteri Pendidikan, Fred Matiangi.

"Kebakaran berlaku pada jam 2.00 pagi waktu tempatan di satu bilik," katanya.

Beliau berkata, sekolah dengan hampir 1,200 pelajar itu antara yang terbaik di negara berkenaan.

Kebakaran sebelum ini meragut puluhan nyawa pelajar sekolah berasrama di Kenya.

Pada 2001, 58 pelajar lelaki terbunuh dalam kebakaran di Sekolah Menengah Kyanguli di luar Nairobi.

Seorang pelajar, Daniella Maina, 16, memberitahu Reuters, mereka sedang tidur dan seorang pelajar mengejutkan mereka dan menjerit asrama terbakar.

"Kami dibantu oleh beberapa guru untuk menyelamatkan diri," katanya. - Reuters

101 dibaca
Berita Harian X