Ahad, 10 September 2017 | 7:19pm
- Foto hiasan

Tentera Mesir bunuh 10 suspek militan

KAHERAH: Pasukan keselamatan Mesir membunuh 10 suspek militan hari ini dalam kejadian berbalas tembakan ketika serbuan di dua pangsapuri di tengah ibu kota negara itu.

Tiga anggota polis turut cedera selepas seorang suspek militan meletupkan peranti letupan untuk menghalang mereka memasuki bangunan itu dan dua anggota polis lain cedera ketika berbalas tembakan yang menyusul kemudian.

Sumber berkata, pihak berkuasa menerima maklumat mengenai tempat persembunyian individu berkenaan, yang disyaki anggota Hasm, kumpulan yang mendakwa melakukan beberapa serangan sekitar Kaherah yang menyasarkan hakim dan anggota polis sejak tahun lalu.

Mesir menuduh Hasm sebagai sayap militan pertubuhan Ikhwanul Muslimin, pergerakan yang diharamkan pada 2013. Bagaimanapun, ia dinafikan Ikhwanul Muslimin.

Pemberontakan militan di semenanjung Sinai semakin memuncak selepas tentera Mesir menyingkirkan Presiden Mohamed Morsi pada pertengahan 2013 susulan bantahan besar-besaran.

Kumpulan militan yang melancarkan pemberontakan berjanji taat setia kepada Daesh pada 2014.

Ia dipersalahkan di atas pembunuhan ratusan anggota tentera dan polis, dan mula menyasarkan kawasan lain termasuk Kristian Copts. - Reuters

163 dibaca
Berita Harian X