Selasa, 12 September 2017 | 1:00pm
PRESIDEN Tunisia, Beji Caid Essebsi. - Foto AFP

Rombakan Kabinet Tunisia kukuh kedudukan presiden

TUNIS: Presiden Tunisia, Beji Caid Essebsi mengukuhkan kuasanya sebaik sahaja Parlimen meluluskan rombakan Kabinet menjelang pilihan raya negara itu.

Perdana Menteri, Youssef Chaed dengan mudahnya mendapatkan sokongan penuh Parlimen yang mewakili partinya, Nidaa Tounes dan sekutunya hasil undian yang dijalankan untuk membentuk barisan Kabinet baharu.

Chaed mengumumkan barisan Kabinet baharu itu minggu lalu selepas mengadakan perbincangan dengan Essebsi yang juga pengasas Nidaa Tunes.

Essebsi adalah bekas perdana menteri sebelum menjadi presiden selepas revolusi 2011 yang menggulingkan diktator veteran Zine el Abidine Ben Ali.

Pemerhati berkata, Kabinet baharu yang menempatkan sekutu Essebsi dalam kedudukan penting, mengukuhkan cengkaman presiden berusia 90 tahun itu terhadap kuasa eksekutif.

Kabinet baharu itu dikatakan meletakkan bekas penasihat presiden sebagai Menteri Kewangan dan Kesihatan, sementara calon untuk kementerian pertahanan, Abdelkrim Zbidi dikatakan pernah memegang jawatan yang sama ketika Essebsi adalah perdana menteri. - AFP

188 dibaca
Berita Harian X