Ahad, 22 Oktober 2017 | 10:03pm
PRESIDEN Zimbabwe, Robert Mugabe. - Foto Reuters

WHO singkir Mugabe sebagai duta muhibah

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menyingkirkan Presiden Zimbabwe, Robert Mugabe, sebagai Duta Muhibah badan itu hari ini, berikutan kemarahan disuarakan penyumbang dana dan kumpulan hak asasi yang menentang pelantikannya.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang menamakan Mugabe untuk jawatan itu dalam satu mesyuarat peringkat atasan berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) di Uruguay pada Rabu lalu, dalam kenyataannya, berkata beliau mendengar kebimbangan yang disampaikan.

"Sejak beberapa hari lalu, saya memikirkan pelantikan Mugabe sebagai Duta Muhibah untuk NCD di Afrika. Saya memutuskan menarik balik pelantikannya," kata Tedros dalam kenyataan menerusi akaun Twitter miliknya, @DrTedros.

Sebelum ini, Tedros memuji Zimbabwe sebagai 'negara yang meletakkan kesihatan sejagat dan promosinya sebagai sebahagian dasar penjagaan buat semua.'

Mugabe, 93, dituduh Barat memusnahkan ekonomi Zimbabwe, selain penyalahgunaan hak asasi manusia selama 37 tahun ketika memimpin negara berkenaan atas tiket Presiden atau Perdana Menteri.

Britain malah berkata, pelantikan Mugabe selaku Duta Muhibah bagi penyakit tidak berjangkit di Afrika sebagai 'mengejutkan dan mengecewakan', sekali gus berisiko menjejaskan usaha global WHO.

Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan ke atas Mugabe, susulan pencabulan hak asasi menganggap pelantikan berkenaan sangat mengecewakan. - Reuters

392 dibaca
Berita Harian X