Isnin, 23 Oktober 2017 | 7:39am

Pengebom nekad ragut 13 nyawa

MAIDUGURI (NIGERIA): Tiga pengebom nekad wanita membunuh 13 orang dan mencederakan 16 lagi di bandar raya Maiduguri semalam, kata sumber keselamatan.

Pengebom pertama meletupkan tali pinggang yang diikat dengan peranti letupan kira-kira jam 9.45 malam waktu tempatan di depan sebuah restoran kecil di ibu negeri Borno itu ketika orang ramai membeli makan malam.

Dua lagi menyusul beberapa minit kemudian, menyebabkan ada mangsa cedera, kata pemimpin militia bersenjata, sambil menambah serangan dilakukan beberapa jam selepas laporan ramai anggota Boko Haram kelihatan di luar bandar raya itu.

Tiada pihak mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.

Konflik Boko Haram meragut hampir 20,000 nyawa dan memaksa 2.6 juta penduduk lagi meninggalkan kediaman mereka sejak 2009. - AFP

299 dibaca
Berita Harian X