Selasa, 7 November 2017 | 7:56am

10 maut letupan bom di Mali

BAMAKO: Sekurang-kurangnya 10 terkorban dalam beberapa serangan di Mali semalam, hingga memaksa Perdana Menteri, Abdoulaye Idrissa Maiga, membatalkan lawatan ke pusat bandar.

Tindakan itu diambil selepas sebuah kenderaan yang sepatutnya melindungi pasukannya melanggar periuk api.

"Seorang anggota tentera kehilangan kaki, manakala dua yang lain dilaporkan cedera," kata jurucakap kerajaan sambil menambah tiga lagi periuk api turut ditemui di lokasi letupan terbabit.

Sementara itu, jurucakap polis dan pegawai pentadbiran berkata, kepada AFP sebuah bas yang menuju ke kawasan bergolak di Ansongo meletup akibat periuk api semalam, membunuh sekurang-kurangnya empat orang.

"Sekurang-kurangnya empat orang awam, termasuk seorang remaja perempuan terbunuh.

"Kami percaya kumpulan pelampau jihad bertanggungjawab ke atas serangan itu, selain menuduh penduduk menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan," katanya.

Satu lagi serangan di tengah negara itu membunuh empat orang awam dan seorang tentera ketika dua trak yang disewa misi keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Mali, MINUSMA diserang.

"Trak itu kemudian dibakar oleh pelampau," kata seorang pegawai kastam sambil menambah pemandu salah satu kenderaan itu antara yang terkorban.

Jurucakap kerajaan berkata, rentetan beberapa kejadian serangan, sebagai langkah berjaga-jaga, lawatan perdana menteri dibatalkan. - AFP

219 dibaca
Berita Harian X