Isnin, 13 November 2017 | 1:59am

28 mayat tembakan ditemui

TRIPOLI: Dua puluh lapan mayat dengan kesan tembakan dan penderaan ditemui semalam di kawasan di barat ibu kota Libya yang baru-baru ini menyaksikan pertempuran antara dua unit bersenjata yang berbalah.

Jurucakap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Libya (NCHR), Ahmad Hamza, berkata mangsa adalah anggota pergerakan yang menentang pasukan gabungan kerajaan, yang ditahan sebelum dibunuh.

Penduduk tempatan menemui mayat itu berhampiran jalan raya di bandar Alhira, 60 kilometer ke barat daya Tripoli, kata Hamza.

Bandar itu terletak di kawasan Wershafana, yang menjadi lokasi pertempuran meletus minggu lalu apabila tentera gabungan melancarkan kempen terhadap kumpulan bersenjata, termasuk pihak yang setia kepada bekas pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi.

Keluarga mangsa tidak dibenarkan menerima mayat dengan alasan yang tidak diketahui.

"Menurut pemerhatian, ada tanda penderaan dan mereka ditembak di dada dan kepala," katanya. - Reuters

601 dibaca
Berita Harian X