Khamis, 30 November 2017 | 1:03am
Bot yang karam di antara Tanga dan Pemba, menyebabkan sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan hilang di Stone Town, Tanzania. - Foto AFP

Bot ke Zanzibar karam

STONE TOWN (TANZANIA): Sekurang-kurangnya sembilan orang dilaporkan hilang selepas bot yang mereka naiki karam semasa menuju kepulauan Zanzibar.

Bot dikenali sebagai Masha Allah itu turut membawa bersama bahan-bahan pembinaan, karam di antara Tanga dan Pemba, satu daripada dua pulau utama di kawasan berkenaan.

Sehingga kini, tiada seorang pun daripada tiga kru dan enam penumpang bot terbabit ditemui sejak insiden berkenaan berlaku awal pagi Selasa.

Wakil Lembaga Maritim Zanzibar, Sheikha Ahmed berkata, bot itu membawa beberapa tan bahan pembinaan, kebanyakannya simen.

Bot itu, katanya, mungkin membawa lebih muatan atau dilanda ombak besar, dengan tempat kejadian juga kawasan berlakunya beberapa insiden bot karam sebelum ini.

Kebanyakan bot digunakan sebagai alat pengangkutan di Zanzibar bersaiz agak kecil dan berada dalam keadaan buruk tanpa sebarang alat bantuan kecemasan. - AFP

331 dibaca
Berita Harian X