Jumaat, 12 Januari 2018 | 9:34am
SAMI Anan. - Foto Reuters

Bekas jeneral bertanding pilihan raya

KAHERAH: Bekas ketua staf pasukan tentera, Jeneral Sami Anan bakal bertanding dalam pilihan raya Presiden Mesir pada Mac ini.

Pada Isnin lalu, suruhanjaya pilihan raya mengumumkan hari mengundi pada 26 hingga 28 Mac, manakala tarikh pengundian semula pada 24 hingga 26 April.

Semua calon yang bertanding perlu menghantar borang pencalonan mulai 20 Januari hingga 29 Januari ini.

"Kepemimpinan parti setuju untuk mencalonkan Jeneral Sami Anan dan perkara itu sudah dimaklumkan kepadanya.

"Semua pihak, termasuk Sami menyokong keputusan itu," kata Setiausaha Agung Parti Arabisme Mesir, Sami Balah.

Berikutan itu, katanya, sejak Sabtu lalu, semua pegawai dan anggota parti itu di seluruh negara sudah dikerah untuk mengumpul jumlah undi yang diperlukan bagi pencalonan itu.

Peraturan pilihan raya menetapkan mana-mana calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya sokongan 20 ahli Parlimen atau 25,000 pengundi yang layak di dalam sekurang-kurangnya 15 wilayah dikuasai gabenor.

Pemimpin kanan parti yang juga ahli Parlimen, Ragab Helal, berkata parti itu akan mengadakan sidang media beberapa hari lagi bagi mengumumkan secara rasmi pencalonan Sami.

Sementara itu, Presiden Mesir, Abdel Fattah Al-Sisi dijangka bertanding bagi penggal kedua, tetapi belum membuat pengumuman berhubung pencalonan itu.

Lebih tiga perempat ahli Parlimen menyatakan sokongan mereka terhadap Abdel Fattah sebaik saja tarikh pilihan raya diumumkan. - Reuters

508 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »