Jumaat, 12 Januari 2018 | 12:41pm
GOLONGAN muda di utara bandar Siliana bertindak membaling batu dan bom molotov koktel ke arah pasukan keselamatan, yang membalasnya dengan gas pemedih mata.- Foto EPA

Ratusan ditahan tunjuk perasaan di Tunisia

TUNIS: Rusuhan terus menggegarkan sebahagian Tunisia, hari ini dan lebih 600 ditahan pihak berkuasa sejak seminggu lalu dalam tunjuk perasaan menentang pelaksanaan langkah penjimatan.

Tunisia terbabit dalam kebangkitan Arab (Arab Spring) pada 2011, menyaksikan rentetan demonstrasi ganas sejak Isnin lalu, sekali gus menyaksikan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan mengakibatkan puluhan orang cedera.

Namun, pemberontakan negara di Afrika Utara itu yang berlangsung sejak tujuh tahun lalu gagal menggulingkan golongan autokrat, selain membanteras kemiskinan dan pengangguran.

Menurut wartawan AFP, dalam keganasan terbaharu, golongan muda di utara bandar Siliana bertindak membaling batu dan bom molotov koktel ke arah pasukan keselamatan, yang membalasnya dengan gas pemedih mata.

Kementerian Dalam Negeri berkata, polis menahan 328 penunjuk perasaan pada Rabu lalu atas kesalahan mencuri, merompak, membakar dan melakukan sekatan jalan, selepas menahan lebih 280 orang, dua hari sebelumnya.

Jurucakap kementerian, Khalifa Chibani, berkata keganasan hari ini bagaimanapun tidak setegang beberapa hari lalu.

Kira-kira 21 anggota keselamatan dilaporkan cedera, namun tiada orang awam yang tercedera. - AFP

271 dibaca
Berita Harian X