Isnin, 5 March 2018 | 2:49pm

180 maut wabak produk daging di Afrika Selatan

JOHANNESBURG: Pasar raya besar di Afrika Selatan memulakan tindakan menarik semula produk berasaskan daging secara besar-besaran daripada sebuah kilang yang disyaki pihak berkuasa kesihatan negara itu sebagai punca wabak listeriosis.

Setakat hari ini, wabak itu sudah mengorbankan 180 orang sejak Januari 2017.

Listeriosis berpunca daripada sejenis bakteria yang ditemui dalam tanah, air, tumbuhan dan najis haiwan. Ia boleh mencemarkan makanan terutamanya daging segar, produk tenusu dan makanan lain.

Bakteria itu boleh dicegah menerusi amalan kebersihan asas dan membasuh makanan.

Rangkaian pasar raya besar kedua terbesar negara itu, Pick n Pay berkata, ia mengambil tindakan serta merta menarik balik semua produk daripada lokasi pengilangan seperti yang dikenal pasti Jabatan Kesihatan.

"Semua peti sejuk dan kawasan penyediaan makanan pasar raya kami akan dibersihkan semula untuk mengelak jangkitan.

"Daging yang ditarik semula akan diasingkan dan dimusnahkan secara selamat" kata Pick n Pay yang mempunyai 1,420 rangkaian di seluruh Afrika Selatan menerusi satu kenyataan.

Ia turut memberi amaran bahawa pelbagai rangkaian kedai runcit mungkin terkesan akibat listeriosis.

Agensi penyakit berjangkit Afrika Selatan, National Institute of Communicable Diseases (NICD) memaklumkan bahawa 948 kes jangkitan listeriosis disahkan sejak 1 Januari 2017 dan sebanyak 180 kematian direkodkan setakat ini. - AFP

408 dibaca
Berita Harian X