Isnin, 2 April 2018 | 9:05am
Naomi Campbell bergambar dengan President Muhammadu Buhari bertemu ketika Presiden melawat di Eko Atlantic City. - Foto http://www.africanews.com

Campbell gesa iktiraf sumbangan Afrika

LAGOS: Supermodel kulit hitam terkenal, Naomi Campbell, semalam berkata majalah Vogue perlu melancarkan edisi Afrika bagi mengiktiraf sumbangan benua itu kepada industri fesyen global yang dikritik kerana kekurangan kepelbagaian.

Campbell, yang melawat ibu negara Nigeria, Lagos, untuk muncul di atas pentas peragaan pada Minggu Fesyen Arise, berkata benua itu perlu ditonjolkan dengan lebih baik.

"Perlu ada Vogue Afrika. Kita sudah ada Vogue Arab, ia satu kemajuan. Ia perlu ada," katanya merujuk kepada edisi majalah itu yang mensasarkan pembaca di Asia Barat yang dilancarkan tahun lalu.

Katanya, Afrika tidak pernah mempunyai peluang untuk menonjol dan fabrik, bahan serta rekaan boleh diterima global.

Penerbit Vogue, Condé Nast International, tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan kenyataan.

Industri fesyen global mengundang kritikan ramai sejak beberapa tahun lalu kerana kebanyakan model bagi pereka dan jenama fesyen terkenal berkulit putih.

"Orang ramai sedar ia bukan mengenai warna kulit untuk menentukan anda mampu melakukan tugas atau tidak," kata model kelahiran Britain itu.

Katanya, beliau melihat petunjuk wujudnya kepelbagaian dalam industri fesyen seperti pelantikan Edward Enninful sebagai editor Vogue Britain pada April tahun lalu.

Kelahiran Ghana, Enninful ialah editor kulit hitam dan lelaki pertama memegang jawatan itu dalam sejarah 100 tahun majalah berkenaan.

Minggu lalu, jenama Louis Vuitton, LVMH, berkata ia mengupah pereka fesyen Ghana-Amerika, Virgil Abloh, untuk mereka koleksi pakaian lelakinya. - Reuters

517 dibaca
Berita Harian X