Rabu, 11 April 2018 | 12:47am
Keadaan bangkai bas yang terhumban ke Sungai Siyiapei di Daerah Narok, barat daya Nairobi mengorbankan sekurang-kurangnya 17 orang.

17 maut bas terhumban ke dalam sungai

NAIROBI : Sekurang-kurangnya 17 orang maut apabila bas yang mereka naiki terhumban ke dalam sungai, Selasa.

'

Menurut pihak berkuasa, pemandu bas berkenaan hilang kawalan apabila cuba mengelak daripada bertembung dengan sebuah kenderaan lain.

Kemalangan itu berlaku ketika bas terbabit sedang dalam perjalanan dari barat daerah Homa Bay menuju ke ibu negara.

Pesuruhjaya Daerah Narok, George Natembeya berkata lebih daripada 40 mangsa lagi dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut beliau, kejadian berkenaan berlaku apabila pengawal lalu lintas berhampiran jambatan dilalui bas itu memberi isyarat yang salah.

Statistik rasmi menunjukkan bahawa kira-kira 3,000 penduduk Kenya maut akibat kemalangan jalan raya setiap tahun namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan bahawa jumlah sebenar adalah empat kali ganda lebih tinggi.

Pada Disember 2016, lebih daripada 40 orang maut apabila sebuah lori tangki berlanggar dengan beberapa kenderaan lain dan meletup di sebuah lebuh raya yang sibuk manakala 36 orang maut pada Disember tahun lalu dalam nahas membabitkan sebuah bas dan sebuah lori. - AFP

526 dibaca
Berita Harian X