Rabu, 11 April 2018 | 8:25pm
LOKASI pesawat tentera Algeria terhempas dan terbakar yang mengorbankan 257 orang. - Foto AFP

257 maut nahas pesawat tentera Algeria

BOUFARIK: Sebuah pesawat tentera Algeria terhempas dan terbakar hari ini, mengorbankan 257 orang, kebanyakannya kakitangan tentera dan anggota keluarga, kata pihak berkuasa.

Seorang jurugambar AFP di tempat kejadian menyaksikan bangkai pesawat terbakar selepas terhempas di padang berhampiran pangkalan udara di sini, lokasi pesawat berlepas.

Beratus ambulans dan berpuluh jentera bomba dengan bunyi bising siren bergegas ke tempat kejadian nahas, 25 kilometer di barat daya Algiers.

Kementerian Pertahanan, dalam satu kenyataan, memaklumkan 247 penumpang dan 10 kru terbunuh, tanpa menyebut jika ada mangsa terselamat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Ahmed Gaid Salah, melawat tempat kejadian dan mengarahkan siasatan terhadap punca nahas.

Pesawat pengangkut Ilyushin II-76 itu dalam perjalanan ke Tindouf di barat daya Algeria.

Anggota parti pemerintah FLN memberitahu stesen televisyen swasta, mangsa yang maut termasuk 26 anggota kumpulan pembebasan Polisario yang memperjuangkan kemerdekaan Sahara barat. - AFP/Reuters

1053 dibaca
Berita Harian X