Sabtu, 15 Julai 2017 | 2:21pm
Andrea Giesbrecht (kiri), meninggalkan mahkamah Manitoba selepas dijatuhi hukuman penjara lapan setengah tahun.

Ibu sembunyi mayat 6 bayi dipenjara

WINNIPEG, Manitoba: Seorang wanita Kanada yang menyembunyikan mayat enam bayinya di tempat simpanan berbayar, dijatuhi hukuman penjara lapan setengah tahun.

Andrea Giesbrecht, 43, didapati bersalah Februari lalu atas enam pertuduhan menyembunyikan mayat anak pada 2014.

Perbuatan itu hanya diketahui selepas kakitangan syarikat penyimpanan, U-Haul, menghidu bau busuk daripada tempat simpanan Giesbrecht selepas dia gagal membayar yuran.

Polis kemudiannya menjumpai mayat lima bayi lelaki dan seorang bayi perempuan yang dianggarkan berusia antara 34 hingga 42 minggu di dalam beg sampah, tong plastik dan baldi, bersama permainan serta pakaian kanak-kanak.

Mayat seorang bayi ditemui dalam konkrit dan seorang lagi dalam serbuk seperti pencuci.

"Tahap reput mayat berkenaan menyukarkan penentuan punca kematian dan pengesanan bukti sama ada mereka masih hidup ketika dilahirkan, sekali gus menghalang pertuduhan membunuh," kata Hakim Murray Thompson, di sini.

Bagaimanapun, Thompson berkata, beliau menerima hujah dan keterangan pakar bahawa bayi itu mungkin masih hidup ketika dilahirkan.

Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengaitkan mayat enam bayi itu dengan Giesbrecht dan suaminya.

Difahamkan, Giesbrecht menyembunyikan berita kehamilan daripada suaminya dan tidak mendapatkan rawatan selepas bersalin. - Reuters

145 dibaca
Berita Harian X