Sabtu, 2 September 2017 | 8:07pm
KEBAKARAN hutan di Burbank, California. - Foto AFP

Penduduk diarah berpindah susulan kebakaran hutan di Los Angeles

CALIFORNIA: Kebakaran hutan semakin marak di barat laut Los Angeles, bandar raya kedua terbesar di Amerika Syarikat, hari ini memaksa penduduk berpindah.

Pegawai bomba di Burbank mengarahkan penduduk di 200 rumah meninggalkan kediaman masing-masing apabila bencana yang digelar Kebakaran La Tuna, yang sudah memusnahkan kawasan seluas 810 hektar, menghampiri kawasan itu dan memaksa Lebuh Raya 210 ditutup, kata Jabatan Bomba Los Angeles.

"Disebabkan api marah, berikutan angin kencang, kami tidak dapat memberikan ramalan mengenai semua kawasan yang berisiko," kata jabatan itu.

Kawasan itu berada dalam amaran bendera merah daripada Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan sehingga petang ini ketika suhu dijangka melonjak melepasi 37.8 darjah Celsius dengan angin kencang dan kelembapan rendah.

Gambar dan video di media sosial awal hari ini menunjukkan asap daripada kebakaran berkepul-kepul naik ke udara.

"Salji debu terjadi berikutan kebakaran di Burbank, bunyi letupan besar kedengaran disusuli gangguan bekalan elektrik di rumah saya," kata seorang penduduk, Cory Pratt.

Tiada kecederaan atau kerosakan harta benda dilaporkan setakat ini, lapor akhbar Los Angeles Times. - Reuters

480 dibaca
Berita Harian X