Rabu, 13 September 2017 | 8:05am
MARK Warner. - Foto AFP

'Russia beli iklan promosi pilihan raya AS'

WASHINGTON: Facebook Inc berkata, sebahagian iklan yang dibeli Russia tahun lalu mempromosikan acara ketika pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS), menunjukkan dakwaan campur tangan Moscow menjelang pemilihan 2016 itu turut membabitkan media sosial.

Facebook dalam kenyataan berkata, ia membuang apa yang disifatkan syarikat itu sebagai laman berkaitan Russia termasuk menutup beberapa acara promosi.

Ia enggan mendedahkan butiran mengenai acara berkenaan.

Minggu lalu, rangkaian sosial terbesar dunia itu berkata, operasi berkemungkinan beribu pejabat di Russia yang meletakkan ribuan iklan AS dengan pandangan mengenai topik seperti pendatang, perkauman dan hak gay di laman itu dalam tempoh dua tahun sehingga Mei 2017.

Senator Mark Warner kecewa dengan kegagalan Facebook menunjukkan maklumat terbaru itu ketika taklimat minggu lalu dengan kakitangan Jawatankuasa Perisikan Senat, yang menyiasat dakwaan campur tangan berkenaan.

"Kami melihat lebih banyak bukti iklan tambahan dan bagaimana ia digunakan untuk memanipulasi individu," kata naib pengerusi jawatankuasa itu.

Facebook berkata, ia akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa AS selagi perlu.

Presiden Vladimir Putin menafikan kerajaannya campur tangan dengan pilihan raya AS, yang menyaksikan kemenangan calon Republikan, Donald Trump, mengatasi pencabarnya daripada Demokrat, Hillary Clinton. - Reuters

331 dibaca
Berita Harian X