Rabu, 13 September 2017 | 10:46am
STEVEN Mnuchin . - Foto AFP

'Sekatan PBB kecil berbanding tindakan Pyongyang'

WASHINGTON: Presiden Donald Trump menyifatkan sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Korea Utara adalah langkah kecil dan tiada apa jika dibanding dengan apa akan berlaku untuk menangani program nuklear negara itu.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Steven Mnuchin, memberi amaran kepada sekutu kuat Pyongyang, China, bahawa jika ia tidak mengikut langkah baharu itu, Washington akan mengenakan sekatan tambahan dan melarang mereka memasuki AS serta sistem dolar antarabangsa.

Seorang pegawai kanan pentadbiran berkata, sekatan tambahan seumpama itu ke atas bank China dan syarikat lain digantung buat masa ini bagi memberi masa kepada Beijing bersedia menguat kuasa sepenuhnya sekatan baharu dan lama.

Majlis Keselamatan PBB mengundi sebulat suara untuk meningkatkan sekatan ke atas Korea Utara kelmarin, mengharamkan eksport tekstil dan bekalan bahan api, mendorong Pyongyang mengancam membalas dendam terhadap AS.

Tindakan PBB didorong ujian nuklear keenam dan terbaru Korea Utara bulan ini.

Ia adalah resolusi ke-9 Majlis Keselamatan berhubung peluru berpandu balistik dan program nuklear sejak 2006.

Deraf awal lebih tegas dikemukakan gagal mendapat sokongan China dan Russia, kedua-duanya mempunyai kuasa veto di PBB. - Reuters

544 dibaca
Berita Harian X