Selasa, 7 November 2017 | 6:54pm
PRESIDEN Amerika Syarikat, Donald Trump. - Foto Reuters

Trump puji tindakan Arab Saudi banteras rasuah

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyokong tindakan Putera Mahkota Arab Saudi menahan anggota keluarga diraja, menteri dan pelabur dalam satu operasi anti-rasuah.

Sokongan itu mengukuhkan lagi hubungan AS-Arab Saudi yang bertambah baik di bawah kepimpinan Trump, sebahagiannya kerana visi kedua-dua pemimpin mendepani secara agresif seteru Arab saudi, Iran, di rantau itu.

Trump menulis tweet bahawa beliau memiliki "keyakinan besar terhadap Raja Salman dan Putera Mahkota Arab Saudi" susulan penahanan besar-besaran itu, pembersihan terbesar golongan elit berpengaruh dalam sejarah moden.


PUTERA Mohammed bin Salman. - Foto Reuters

"Mereka tahu apa yang sebenarnya mereka lakukan. Sesetengah individu yang menerima layanan buruk 'memerah' negara mereka selama beberapa tahun," tweet Trump lagi.

Pembersihan itu adalah yang terbaharu dalam langkah dramatik dilakukan Putera Mohammed bin Salman atau MBS, untuk meningkatkan pengaruh Arab Saudi di peringkat antarabangsa serta mengukuhkan kuasanya di tanah air.

Seorang pegawai AS yang enggan dikenali memberitahu Reuters: "MBS menjadi pemacu utama pembuat dasar Arab Saudi. Beliau bertindak secara agresif mengetepikan pencabar, menumpukan kuasa membuat keputusan dan menjadikan dirinya sebagai pewaris legasi al Saud.

"Beliau mahu mengukuhkan keyakinan orang awam terhadap monarki Arab Saudi dengan mempelbagaikan ekonomi, melonggarkan sekatan agama dan menjalankan pembaharuan meluas sosial."

Antara yang ditahan adalah pelabur jutawan, Putera Al-Waleed bin Talal, seorang ahli perniagaan terkenal pentadbiran diraja itu yang mana pelaburannya dalam syarikat seperti Twitter menjadikannya nama paling dikenali di Wall Street.

Juga ditahan adalah Putera Miteb bin Abdullah yang dipecat sebagai Menteri Pengawal Kebangsaan. - Reuters

470 dibaca
Berita Harian X