Rabu, 8 November 2017 | 2:53pm
PROJEK pembinaan semula di bahagian tengah dan selatan Mexico susulan dua gempa bumi pada September lalu yang mengorbankan 465 orang bakal membabitkan kos berjumlah AS$2.5 bilion (RM10.57 bilion).- Foto AFP

Lebih RM10b kos pembangunan semula Mexico

MEXICO CITY: Projek pembinaan semula di bahagian tengah dan selatan Mexico susulan dua gempa bumi pada September lalu yang mengorbankan 465 orang bakal membabitkan kos berjumlah AS$2.5 bilion (RM10.57 bilion).

Presiden Enrique Pena Nieto ketika mengumumkannya semalam, berkata bencana itu memusnahkan 140,000 kediaman dan menjejaskan 14,000 perniagaan serta 16,000 sekolah.

Menurut beliau, pembinaan semula itu adalah pelaburan kerajaan yang dijangka membabitkan pelaburan berjumlah 48 bilion peso (RM10.57 juta).

"Sebanyak satu per 10 daripada projek ini akan dibiayai oleh sektor swasta," katanya.

Pada 19 September lalu, Mexico mengalami gempa bumi kedua berukuran 7.1 magnitud dan meragut 369 nyawa, serentak dengan ulang tahun ke-32 gempa bumi yang meragut 10,000 nyawa pada tahun 1985.

Ia berlaku tidak lama selepas gempa bumi terkuat pernah direkodkan, berukuran 8.2 magnitud yang melanda negeri Chiapas dan Oaxaca, menyebabkan 96 orang maut.

Pena Nieto berkata, kebanyakan projek pembinaan semula itu akan dibiayai menggunakan dana awam memandangkan sumbangan oleh pihak swasta tidak dikendalikan oleh kerajaan.

Namun, beliau berkata, ia akan diseragamkan bagi mengelakkan berlakunya pertindihan projek. - AFP

225 dibaca
Berita Harian X