Jumaat, 10 November 2017 | 9:31am
Melanie Brown (Spice Girl Mel B) tiba di luar Mahkamah Tinggi Los Angeles untuk kesnya terhadap bekas suaminya, Stephen Belafonte di Los Angeles, California. - Foto AFP

Mel B, bekas suami setuju batal tuduhan keganasan domestik

LOS ANGELES: Bekas ahli kumpulan Spice Girl, Mel B dan dudanya, Stephen Belafonte dilaporkan sudah mencapai persetujuan berhubung tuduhan keganasan domestik yang dikemukakan penyanyi itu.

Menurut peguam kedua-dua pihak, persetujuan itu dicapai beberapa hari sebelum kes perceraian mereka dibicarakan di mahkamah, semalam.

Mel B atau nama asalnya, Melanie Brown yang mengemukakan permohonan bercerai pada 20 Mac lalu, menuduh Belafonte melakukan penderaan fizikal dan emosi sepanjang tempoh 10 tahun perkahwinan mereka.

Berikutan itu, perbicaraan yang dijadualkan berlangsung di Mahkamah Tinggi Los Angeles dibatalkan, dan Hakim Mark Juhas turut menarik balik permohonan perintah larangan yang dikemukakan oleh Mel B terhadap Belafonte.

Menurut peguam Belafonte, Grace Jamra, pasangan berkenaan juga sudah mencapai persetujuan berhubung hak penjagaan anak perempuan mereka, Madison, 6 tahun.

Dalam pada itu, Mel B yang turut menghadiri perbicaraan di mahkamah, semalam, enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu. - AFP

587 dibaca
Berita Harian X