Rabu, 15 November 2017 | 7:00am

AS terus dicengkam tembakan rambang

NEW YORK: Empat maut selepas seorang lelaki yang membawa senjata separa automatik dan dua pistol melepaskan tembakan di beberapa lokasi di utara California, sebelum mati ditembak anggota polis.

Pihak polis dan media tempatan melaporkan, sekurang-kurang 10 lagi mangsa dilaporkan cedera, termasuk dua kanak-kanak di sebuah sekolah rendah berhampiran bandar Corning, yang terletak kira-kira 161 kilometer di utara Sacramento.

"Kami amat sedih mendengar mengenai kejadian tembakan di utara California yang menyebabkan kehilangan nyawa, termasuk kanak-kanak yang tidak bersalah.

"Kami memuji tindakan berani pihak berkuasa. Kami akan terus memantau situasi dan menyalurkan bantuan, sambil berdoa untuk kesejahteraan semua mangsa yang terbabit," kata Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence di Twitter.

Sementara itu, pembantu tadbir Kesatuan Sekolah Rendah Daerah Corning, Jeanine Quist, memberitahu Reuters, beberapa orang dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di Sekolah Rendah Rancho Tehama, namun tiada murid atau kakitangan sekolah yang terkorban.

Pembantu Sheriff Daerah Tehama, Phil Johnston dalam satu sidang media mengesahkan suspek yang masih belum diketahui identitinya itu menggunakan rifel separa automatik dan dua pistol.

Johnston juga tidak mendedahkan motif serangan berkenaan. - Reuters

474 dibaca
Berita Harian X