Khamis, 16 November 2017 | 12:01pm
PEMBUNUH kejam Amerika Syarikat, Charles Manson. - Foto AFP

Kesihatan pembunuh kejam AS makin buruk

LOS ANGELES: Pembunuh kejam Amerika Syarikat, Charles Manson, yang mengetuai kumpulan ajaran sesat membunuh bintang Hollywood, Sharon Tate, dimasukkan ke hospital kerana keadaan kesihatan yang semakin buruk, lapor laman hiburan TMZ semalam.

Tate sedang hamil ketika dibunuh.

Memetik sumber tidak dikenali, laman berkenaan melaporkan penjenayah berusia 83 tahun dengan tatu swastika di dahinya dikejarkan ke hospital Bakersfield di tengah California tiga hari lalu dan menjalani beberapa siri rawatan, diiringi lima anggota polis.

"Keadaannya tidak bertambah baik," kata sumber kepada TMZ.

Manson dimasukkan ke hospital Januari lalu, menurut laman itu, selepas ditahan di wad kerana pendarahan usus teruk.

Dia memerlukan pembedahan untuk memulihkan luka, tetapi doktor menyifatkan Manson terlalu lemah dan menghantar dia semula ke penjara.

Salah seorang penjenayah terkenal AS, Manson sudah berada di penjara lebih empat dekad.

Dia dijatuhkan hukuman mati pada 1971 bersama-sama empat pengikutnya kerana pembunuhan pada Ogos 1969 yang mengorbankan tujuh orang, termasuk Tate, yang juga isteri kepada pengarah Roman Polanski.

Hukuman mereka kemudian dikurangkan menjadi penjara seumur hidup. - AFP

4342 dibaca
Berita Harian X