Jumaat, 8 Disember 2017 | 6:50am
GAMBAR fail yang dikeluarkan oleh pejabat akhbar Senat Argentina menunjukkan bekas presiden Argentina dan senator Buenos Aires, Cristina Fernandez de Kirchner bersumpah untuk mandat baru sebagai senator, di Kongres di Buenos Aires, pada 29 November 2017. - Foto AFP

Hakim arah tahan bekas presiden Argentina

BUENOS AIRES: Seorang hakim Argentina mengarahkan bekas presiden, Cristina Kirchner ditahan semalam kerana didakwa menyembunyikan pembabitan Iran dalam pengeboman di sebuah pusat Yahudi di sini pada 1994 yang mengakibatkan 85 orang terbunuh.

Hakim Claudio Bonadio turut menyeru Senat untuk memulakan prosedur melucutkan imuniti parlimen beliau, yang memerlukan majoriti dua pertiga.

Dalam satu sidang akhbar untuk menjawab semula tuduhan berkenaan, bekas presiden berusia 64 tahun itu berkata, perintahmenahannya adalah 'tindakan yang melanggar undang-undang'.

Kirchner, yang sekian lama mendakwa konflik undang-undangnya adalah bermotifkan politik, menuduh Presiden Mauricio Macri memanipulasi sistem keadilan untuk 'menganiaya pembangkang'.

Bonadio turut memerintahkan penahanan bekas Menteri Luar Negeri, Hector Timerman dan beberapa bekas pegawai lain dalam kerajaan Kirchner, termasuk bekas pembantunya Carlos Zannini.

Bekas ketua Agensi Perisikan Persekutuan, Oscar Parrilli, diletakkan di bawah tahanan rumah dan tidak dibenarkan meninggalkan negara itu. - AFP

700 dibaca
Berita Harian X