Rabu, 13 Disember 2017 | 12:46pm
SEBUAH helikopter memadam kebakaran di Toro Canyon, utara Santa Barbara, California. - Foto AFP

'Thomas' makin berjaya dikawal

LOS ANGELES: Anggota bomba yang berusaha memadamkan kebakaran besar di selatan California selama seminggu berjaya memperlahankan api daripada merebak, kata pegawai semalam.

Kebakaran terburuk yang digelar 'Thomas' sudah memusnahkan hampir 95,000 hektar kawasan dan cuma 20 peratus berjaya dikawal, menurut agensi Calfire.

Namun sejak beberapa hari kebelakangan ini, perangkaan itu cuma meningkat kepada 1,000 hektar.

Arahan pemindahan dikeluarkan bagi kawasan terancam di Santa Barbara kira-kira 160 kilometer ke barat laut Los Angeles.

Hampir 6,400 anggota bomba bergelut selama seminggu menangani kebakaran yang disemarakkan dengan keadaan kering dan angin kuat.

Angin bertiup pada kelajuan sehingga 65 kilometer sejam, kata jabatan kaji cuaca, ketika pihak berkuasa kesihatan menggesa penduduk memakai topeng muka untuk berlindung daripada abu dan asap.

Pesara juruterbang, Don Thompson, yang memilik ladang avocado di Carpinteria berhampiran Santa Barbara, menggambarkan kehilangan rumah milik mendiang saudara lelakinya dalam kebakaran itu sebagai 'pengakhiran era keluarga mereka'.

"Beliau sendiri membina rumah itu. Ada air mata yang mengalir," katanya.

Sebahagian ladang avocado keluarganya juga musnah manakala asap tebal masih kelihatan semalam, mengehadkan jarak penglihatan kepada cuma 50 meter. - AFP

584 dibaca
Berita Harian X