Khamis, 11 Januari 2018 | 1:47am

15 maut bencana tanah runtuh di California

LOS ANGELES: Pasukan menyelamat menggunakan helikopter dan anjing untuk mencari mangsa tanah runtuh di kawasan bukit sekitar Santa Barbara, California, semalam.

Bencana itu menyebabkan sekurang-kurangnya 15 maut di kawasan pesisir pantai.

Kawasan itu, yang terletak antara lautan dan Taman Negara Los Padres, turut menjadi lokasi kediaman selebriti Hollywood termasuk Oprah Winfrey dan Ellen DeGeneres.

Namun kawasan bukit eksklusif itu kini sudah berubah wajah dan gondol susulan kebakaran hutan tahun lalu, menyebabkan banyak berlaku tanah runtuh dan banjir lumpur.

"Kami terus berusaha mencari menggunakan pelbagai sumber termasuk helikopter," kata jurucakap Pusat Maklumat Bersama Santa Barbara, Yaneris Muniz.

Pegawai mengarahkan penduduk di Montecito tidak keluar rumah supaya pasukan penyelamat dapat melakukan tugasan mereka dengan lebih baik.

Kira-kira 300 penduduk terkandas di ngarai. Kru penyelamat menggunakan helikopter pasukan Pengawal Pantai untuk memindahkan mereka, kata pegawai. - Reuters

251 dibaca
Berita Harian X