Khamis, 11 Januari 2018 | 1:02pm
PANDANGAN dari udara kawasn banjir lumpur di pesisiran pantai California Selatan. - Foto EPA
ANGKA kematian banjir lumpur di pesisiran pantai California Selatan meningkat kepada 17 orang. - Foto REUTERS

17 mangsa banjir lumpur California

SANTA BARBARA: Angka kematian banjir lumpur di pesisiran pantai California Selatan meningkat kepada 17 orang, selepas dua lagi mayat ditemui, manakala jumlah yang hilang turut mencecah 17 mangsa.

Menurut polis tempatan, dua lagi mayat dikesan selepas pasukan penyelamat menggunakan anjing pengesan, helikopter dan peralatan pengimejan haba bagi mencari mangsa di bawah timbunan lumpur sedalam paras pinggang.

Sementara tiga mangsa berjaya diselamatkan daripada bawah serpihan runtuhan semalam, namun identiti semua mangsa masih belum didedahkan.

"Kami sedar usaha mencari dan mengesan semakin sukar serta akan mengambil masa yang panjang bagi semua pihak yang terbabit," kata Sheriff Wilayah Santa Barbara, Bill Brown kepada wartawan dalam satu sidang media.

Jurucakap Jabatan Bomba Wilayah Santa Barbara, Amber Anderson, berkata lumpur yang memenuhi seluruh kawasan antara Lautan Pasifik hingga ke Hutan Simpan Los Padres memusnahkan 100 kediaman, selain ratusan bangunan serta mencederakan 28 mangsa.

Katanya, ia turut menyebabkan kedua-dua laluan lebuh raya utara selatan di sepanjang pantai, iaitu Route 101 Amerika Syarikat ditutup dan ia dijangka dibuka semula, minggu depan.

Selain itu, banjir lumpur itu turut memusnahkan beberapa hotel bersejarah dan rumah selebriti, termasuk personaliti televisyen, Oprah Winfrey dan hos rancangan bual bicara, Ellen DeGeneres di Montecito, Los Angeles. - Reuters

374 dibaca
Berita Harian X