Khamis, 11 Januari 2018 | 11:21pm
FOTO hiasan.

AS rombak amaran perjalanan

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya semalam, memperkenalkan sistem keselamatan empat peringkat dan peta interaktif negara di dunia.

Sepuluh zon perang dan negara dianggap gagal, diberi kedudukan Tahap Empat, 'Dilarang Berkunjung' terdiri daripada Afghanistan, Republik Afrika Tengah, Iran, Iraq, Libya, Mali, Somalia, Sudan Selatan, Syria dan Yaman.

Korea Utara juga berada dalam kategori sama, dengan tambahan sekatan perundangan AS melarang rakyatnya daripada menggunakan pasport mereka di sana, mengharamkan sebarang kunjungan.

Namun sesetengah kedudukan untuk negara lain mungkin mencetuskan kekeliruan atau kemarahan antarabangsa walaupun Jabatan Negara berkata, ia hanya meletakkan nasihat sedia ada dalam format baharu.

Pihak berkuasa menegaskan, perubahan dibuat untuk menjadikan nasihat lebih jelas kepada pelawat AS, namun sistem amaran perjalanan itu sekian lama mengundang kontroversi dan sering menghina negara asing.

"Ini bukan dokumen politik. Ia hanyalah berdasarkan penilaian situasi keselamatan," kata pegawai kanan konsular Michelle Bernier-Toth.

Sekutu utama Eropah seperti Britain, Perancis dan Jerman berada dalam kedudukan Tahap Dua, 'langkah berjaga-jaga meningkat' sementara negara autokratik Uzbekistan berada di Tahap Satu dengan 'langkah berjaga-jaga biasa.'

Kelmarin, senator AS mendengar pegawai Jabatan Negara berkata, seseorang dikenali oleh kerajaan Cuba memiliki senjata misteri yang digunakan untuk menyebabkan trauma otak ke atas rakyat AS di Havana.

Namun Cuba diberi kedudukan Tahap Tiga atau 'pertimbang melakukan perjalanan.'

Pihak berkuasa menegaskan, perubahan dibuat untuk menjadikan nasihat itu lebih jelas kepada rakyat AS yang bercadang untuk melakukan lawatan.

Sesetengah negara mengadu pada masa lalu, sistem amaran itu menokok tambah bahaya dan merosakkan pelancongan atau mengesyaki mereka menjadi mangsa kritikan diplomatik AS. - AFP

283 dibaca
Berita Harian X