Khamis, 11 Januari 2018 | 11:45pm

Tangani nahas jalan raya seperti wabak penyakit

TEPIC, Mexico: Kerajaan perlu menganggap kes kemalangan maut di jalan raya sebagai isu kesihatan awam dan memperbaiki sistem pengangkutan awam serta reka bentuk bandar untuk mengurangkan kecederaan dan kematian akibat nahas terutama di negara miskin.

Meletakkan tanggungjawab kes kemalangan ke atas perancang bandar dan pihak berkuasa pengangkutan berbanding pemandu adalah penting bagi mengurangkan 1.3 juta kematian setiap tahun, menurut laporan Institut Sumber Dunia dan Bank Dunia yang disiarkan hari ini.

"Kita perlu melihat kematian akibat kemalangan jalan raya sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima dan berusaha sebagai satu masyarakat untuk membasmi atau hampir menghapuskan tragedi itu.

"Kita lakukan perkara sama untuk polio, malaria atau batuk kering. Kami rasa keselamatan jalan raya juga perlu diberi perhatian seperti itu," kata penulis bersama laporan, Ben Welle.

Menguat kuasa had laju, memastikan kenderaan selamat di jalan raya dan membina jalan raya, bulatan dan laluan basikal boleh membantu mengurangkan kemalangan, menurut laporan itu yang menggesa pendekatan menyeluruh 'sistem selamat'.

Mengurangkan kes memandu dalam mabuk dan memastikan pengguna kenderaan memakai tali pinggang keselamatan dan topi keledar adalah kuncinya, menurut laporan, yang menggesa negara menetapkan sasaran jangka panjang untuk menjadikan kematian akibat kemalangan jalan raya sifar atau hampir sifar.

Penduduk negara miskin lebih berkemungkinan maut dalam kemalangan jalan raya apabila kajian mendapati 90 peratus kemalangan maut berlaku di negara miskin dan berpendapatan sederhana.

Kanak-kanak dan penduduk muda, terutamanya terdedah dengan kemalangan jalan raya yang tersenarai dengan punca utama kematian dalam kalangan mereka berusia 10 hingga 19 tahun di negara membangun, menurut laporan itu. - Reuters

125 dibaca
Berita Harian X