Sabtu, 10 March 2018 | 12:37pm
MARTIN Shkreli. - Foto AFP

Lelaki paling dibenci di AS dipenjara tipu pelabur

NEW YORK : Seorang lelaki yang diberi gelaran 'lelaki paling dibenci di Amerika' kerana menyumbang kepada kenaikan harga ubat HIV dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun semalam atas kesalahan menipu pelabur.

Martin Shkreli yang juga bekas eksekutif farmaseutikal dan pengurus dana pelindung itu disabitkan dengan dua kesalahan penipuan keselamatan dan cubaan melakukan konspirasi penipuan keselamatan.

Beliau yang pernah menerajui firma Turing Pharmaceuticals sebelum ini dan menerima gelaran 'Pharma Bro', menjadi terkenal selepas melonjakkan harga dadah Daraprim sebanyak 5,000 peratus tiga tahun lalu, menyebabkan ia dijual pada harga AS$750 (RM2932.50) sebiji berbanding harga asal AS$13.50 (RM52.80).

Lelaki terbabit bagaimanapun tampil bersahaja dan tersenyum sinis sepanjang tempoh perbicaraan yang mendedahkan dengan terperinci segala perkara berkaitan dirinya, sekali gus berhasil dalam meraih publisiti selepas menonjol dengan begitu luar biasa.

Walaupun kontroversi mengenai dadah berkenaan tidak memiliki sebarang kaitan dengan kesnya di mahkamah persekutuan, reputasi Shkreli, 34 begitu 'hebat' hingga sukar untuk mencari juri sepanjang tempoh perbicaraan.

Ditahan pada Disember 2015, jaminan beliau ditarik semula pada September selepas terbabit membuat tawaran lumayan untuk mana-mana individu yang berhasil menarik rambut calon Presiden, Hillary Clinton.

Shkreli bagaimanapun menegaskan tawaran itu hanya sekadar satu jenaka. - AFP

823 dibaca
Berita Harian X