Rabu, 14 March 2018 | 8:04am
DONALD Trump. - Foto Reuters

Rumah Putih bincang isu Gaza, PA pulau pertemuan

WASHINGTON: Rumah Putih, semalam menjadi hos kepada 19 negara termasuk Israel dan negara Teluk Arab, untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza, tetapi Pihak Berkuasa Palestin memulaukan pertemuan itu.

Ia susulan kemarahan dengan dasar pentadbiran Presiden Donald Trump mengenai Baitulmaqdis.

Trump membelakangkan dasar AS selama beberapa dekad Disember lalu, apabila memutuskan untuk mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke bandar raya itu.

Tindakan itu menimbulkan kemarahan Palestin dan sekutu AS lain.

Pentadbiran Trump juga meletakkan sentuhan akhir ke atas pelan damai Asia Barat, dan pegawai Washington berkata persidangan itu adalah penting untuk rundingan masa depan.

"Memulihkan Gaza adalah penting untuk mencapai perjanjian damai," kata salah seorang pegawai kanan pentadbiran.

Beliau menegaskan usaha kemanusiaan pelbagai negara dan pembinaan semula kekal dalam tahap permulaan.

Penasihat kanan Trump, Jared Kushner, yang memantau proses damai Israel-Palestin untuk Rumah Putih, membentangkan rancangan selama dua jam kepada negara yang hadir, kata pegawai, tetapi pelan damai AS tidak dinyatakan.

Negara yang hadir termasuk wakil dari Mesir, Jordan, Arab Saudi, Qatar, Bahrain, Oman dan Emiriah Arab Bersatu, selain beberapa negara Eropah.

Format tidak membolehkan wujudnya rundingan secara langsung antara Israel dan negara Arab, katanya. - Reuters

430 dibaca
Berita Harian X