Isnin, 16 April 2018 | 1:49am
DUTA AS ke PBB, Nikki Haley. - Foto EPA

AS kenakan sekatan baharu ke atas Russia

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) akan mengenakan sekatan baharu terhadap Russia membabitkan dakwaan serangan kimia oleh rejim Presiden Syria, Bashar al-Assad, kata duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley semalam.

Haley berkata, sekatan itu akan diumumkan Setiausaha Perbendaharaan Steve Mnuchin hari ini dan menyasarkan syarikat yang membekalkan Damsyik dengan peralatan dan bahan berkaitan dengan senjata kimia.

"Sekatan terhadap Russia akan dilaksanakan. Setiausaha Mnuchin akan mengumumkannya pada Isnin. Ia akan menyasarkan syarikat yang melakukan transaksi peralatan berkaitan penggunaan senjata kimia Assad," katanya.

Tindakan itu dilakukan susulan serangan udara oleh AS, Perancis dan Britain sebagai tindak balas terhadap serangan senjata kimia Syria yang disyaki di kawasan pemberontak Douma pada 7 April lalu dengan lebih 40 orang terkorban. - AFP

1024 dibaca
Berita Harian X