Selasa, 17 April 2018 | 12:15pm
PENYANYI Beyonce. - Foto Reuters

Beyonce bagi biasiswa AS$100,000

LOS ANGELES: Penyanyi Beyonce semalam menawarkan biasiswa AS$100,000 (RM388,900.46) kepada pelajar di empat universiti dan kolej bersejarah untuk penduduk kulit hitam selepas persembahan mendapat pujian beliau di festival muzik Coachella hujung minggu lalu.

Program Anugerah Biasiswa Keraian untuk tahun akademik 2018-2019 akan menyumbang biasiswa AS$25,000 (RM97,213.69) masing-masing kepada seorang pelajar di Universiti Xavier, Lousiana, Universiti Wilverforce, Ohio, Universiti Tuskegee, Alabama dan Universiti Bethune-Cookman, Florida, kata yayasan penyanyi 'Lemonade' itu.

Persembahan Beyonce dalam festival Coachela di California Selatan Sabtu lalu dianggap penghormatan kepada pendidikan dan budaya kulit hitam Amerika Syarikat (AS), memaparkan kumpulan perarakan, seni persembahan, koir dan tarian. Beliau dibantu lebih 150 penghibur di atas pentas.

"Kami menyanjung semua institusi pendidikan tinggi kerana mengekalkan budaya dan mewujudkan persekitaran pembelajaran optimum yang meluaskan impian dan peluang kepada pelajar," kata Ivy McGregor yang menguruskan yayasan penyanyi itu, BeyGood dalam kenyataan mengumumkan biasiswa.

Lebih 100 kolej dan universiti bersejarah milik kulit hitam AS diwujudkan sebelum Akta Hak Asasi Awam 1964, apabila institusi pendidikan tinggi dikuasai kulit putih melarang pelajar Afrika Amerika.

Tahun lalu, penyanyi berusia 36 tahun itu mewujudkan satu program biasiswa merit bagi menyokong wanita muda. -Reuters

386 dibaca
Berita Harian X