Selasa, 18 Julai 2017 | 12:00am

Duterte tawar autonomi kepada penduduk Islam


PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte. - Foto AFP

MANILA: Presiden Rodrigo Duterte menawarkan pemerintahan sendiri kepada minoriti Islam Filipina hari ini dalam usaha menewaskan militan Islam yang merampas bandar raya di selatan negara itu.

Duterte berharap janji memberikan kuasa autonomi akan dapat memujuk penduduk Islam Filipina menolak kumpulan pengganas.

Militan yang taat kepada Daesh, masih mengawal beberapa bahagian Marawi selepas hampir dua bulan bertempur sehingga menyebabkan lebih 500 terbunuh.

Duterte memberi jaminan itu menerusi rang 'Undang-Undang Asas Bangsamoro' Kongres yang ditulis bersama dan diserahkan kepadanya hari ini oleh pegawai kerajaan dan kumpulan pemisah Islam terbesar Filipina, Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

"Saat ini adalah langkah penting ke arah usaha kami menamatkan kebencian, ketidakpercayaan dan ketidakadilan selama berabad yang meragut dan menjejaskan nyawa jutaan penduduk Filipina," katanya dalam ucapan kepada pemimpin MILF dan pegawai kerajaan.

Kedua-dua pihak berkata, memberikan pilihan lebih baik kepada minoriti Islam di negara Kristian Katolik itu adalah penting untuk menangani keganasan.

"Mereka yang tersalah arah ini mengisi kekosongan yang dicetuskan kegagalan kami menggubal undang-undang asas dan mengecewakan orang kami," kata pengerusi MILF, Murad Ebrahim, kepada perhimpunan sama, merujuk kepada pemberontak di Marawi. - AFP

1156 dibaca
Berita Harian X