Selasa, 18 Julai 2017 | 12:08am
Speaker Dewan Perwakilan dan juga pengerusi Golkar, Setya Novanto (tengah). - Foto REUTERS

Pengerusi Golkar disiasat isu rasuah

JAKARTA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Indonesia (KPK) menyiasat seorang anggota Parlimen negara itu atas dakwaan menyebabkan negara kerugian sekurang-kurangnya 2.3 trilion rupiah (RM741 juta) ketika pelaksanaan kad pengenalan elektronik.

KPK mengenal pasti ahli politik berkenaan cuma dengan nama singkatan 'SN', yang dilaporkan media sebagai Speaker Dewan Perwakilan dan juga pengerusi Golkar, Setya Novanto.

Jurucakap Golkar, Nurul Arifin, berkata: "Kami masih menunggu notis rasmi daripada KPK yang menamakan pengerusi kami, Setya Novanto, sebagai suspek.

"Parti Golkar mengikut dan menghormati proses menegakkan undang-undang, dan kami memegang teguh prinsip belum didapati bersalah."

KPK menyiasat dakwaan jumlah antara AS$5,000 hingga AS$5.5 juta (RM21,000 - RM23 juta), wang yang diperoleh dengan menaikkan kos pemerolehan kad pengenalan elektronik, yang dibahagikan dalam bilik di Parlimen.

Mac lalu, dua kakitangan awam yang dibicarakan kerana rasuah berkaitan dengan kes itu mengenal pasti sekurang-kurangnya 37 orang termasuk Novanto dan anggota parti pimpinan Presiden Joko 'Jokowi' Widodo, yang dikatakan mendapati faedah daripada skandal itu.

Pengerusi KPK, Agus Rahardjo, berkata hari ini 'SN' ialah suspek yang menyalah guna kuasa untuk menguntungkan dirinya atau orang lain. - Reuters

457 dibaca
Berita Harian X