Rabu, 9 Ogos 2017 | 1:51pm
PEGAWAI Tentera Bangkok, berkawal di hadapan Mahkamah Tentera Bangkok. - Foto Reuters

Hina raja, lelaki Thai kena jel 18 tahun

BANGKOK: Seorang lelaki Thailand dijatuhi hukuman penjara 18 tahun hari ini kerana menyebarkan enam klip video yang dianggap menghina monarki, kata peguamnya.

Tara, 61, ditangkap pada 2015 kerana berkongsi bahan-bahan dalam talian yang didakwa menghina monarki. Dia didakwa menghina Raja dan melakukan jenayah komputer.

Mahkamah Tentera Bangkok menjatuhkan hukuman 18 tahun penjara kepada Tara kerana melanggar Perkara 112 kod jenayah Thailand, yang menyebut sesiapa 'menghina, memalukan atau mengancam Raja, ratu, pewaris atau kerabat' akan dihukum sehingga 15 tahun penjara, dan melakukan jenayah komputer negara.

"Dia mengaku bersalah atas dakwaan terhadapnya dan ditahan sejak 2015, jadi mahkamah menjatuhi hukuman 20 tahun penjara dengan ditolak dua tahun," kata ketua peguam Thailand untuk Hak Asasi Manusia yang turut mewakili Tara kepada Reuters.

Tara tidak boleh membuat rayuan katanya, kerana dia ditangkap ketika Thailand berada di bawah undang-undang tentera.

Penggunaan undang-undang lese-majeste di negara itu meningkat di bawah kerajaan junta yang mengambil alih kuasa menerusi kudeta pada 2014, dengan lebih daripada 100 orang dituduh sejak kudeta, menurut kumpulan pemantauan undang-undang iLaw. - Reuters

1037 dibaca
Berita Harian X