Isnin, 6 November 2017 | 5:42pm
PENDUDUK dan pelancong dipindahkan dengan bot melalui banjir di bandar pelancongan di Hoi An. - Foto AFP

49 mangsa maut banjir di Vietnam

HOI AN: Sekurang-kurangnya 49 maut selepas Taufan Damrey membadai tengah Vietnam sejak Sabtu lalu, kata pihak berkuasa bencana hari ini.

Ia ketika banjir besar kemungkinan menjejaskan lawatan pemimpin ke sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di bandar lama di sini.

Cuaca buruk melanda beberapa hari sebelum Vietnam menyambut pemimpin dunia ke APEC di Danang dan menyebabkan beberapa kawasan ditenggelami air sepenuhnya dalam banjir terburuk sejak beberapa tahun lalu.

Ketika Danang sendiri tidak terjejas teruk, banjir besar melanda bandar ini, Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), terkenal dengan gabungan unik bangunan dibina sejak kurun ke-15.

Sejumlah besar kawasan di empat wilayah tengah dan selatan ditenggelami air hari ini, kata pihak berkuasa dengan angka kematian mungkin meningkat ketika pencarian sekurang-kurangnya 19 orang masih dilakukan.

"Kami berdepan ancaman besar-besaran di semua kawasan terjejas, semua tasik dan sungai dipenuhi air," kata Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Nguyen Xuan Cuang dalam satu mesyuarat tergempar semalam, menurut laman berita kerajaan, VNExpress.

Katanya, paras banjir hampir dengan rekod dicatat pada 1997. Kira-kira 30,000 penduduk dipindahkan dan sekitar 116,000 premis ditenggelami air atau rosak sejak taufan menyerang Sabtu lalu. -AFP

196 dibaca
Berita Harian X